KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Pahang semakin meningkat setakat petang ini, manakala di Terengganu terus mencatatkan penurunan dengan tiga PPS ditutup.
Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata sebanyak 240 orang mangsa banjir berlindung di dua PPS setakat 4 petang ini berbanding 120 orang pagi tadi.
Beliau berkata PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chiao Ching di Mersing dibuka pada 11 pagi dan menempatkan 111 orang daripada 35 keluarga, manakala 129 orang daripada 35 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Tawar.
Tiga sungai mencatatkan paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dengan bacaan 19.63 meter (m) dan Sungai Muar di Segamat Kecil (37.18m), Segamat serta Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat pula merekodkan 6.83m.
Di Pahang, Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,796 orang daripada 1,206 keluarga di 48 PPS, berbanding 2,077 orang daripada 648 keluarga di 18 PPS, pagi tadi.
Kuantan merekodkan mangsa tertinggi dengan 2,889 penduduk berada di 31 PPS, 407 mangsa di sembilan PPS di Maran, 317 mangsa ditempatkan di enam PPS di Rompin dan 183 mangsa berlindung di dua PPS di Pekan.
Laman web publicinfobanjir pula melaporkan tujuh sungai sudah melepasi paras bahaya petang ini, iaitu di Kuantan membabitkan Sungai Belat di Sri Damai, Sungai Kenau di Sungai Rimau, Sungai Soi di Jalan Pekan-Kuantan, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Sungai Kuantan di Bukit Kenau, selain Kampung Sungai Puteri, Rompin dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan.
Di Terengganu, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 94 orang daripada 25 keluarga, berbanding 108 orang daripada 30 keluarga pagi tadi.
Kesemua mangsa di daerah Kemaman berlindung di tiga PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Orang Ramai Batu 14 dan Masjid Kampung Batu 16 Tebak.
Selain itu, tiga lagi PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu, Dewan Ketengah Dandong dan Pusat Pemindahan Pasir Gajah ditutup selepas mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing tengah hari tadi.
-- BERNAMA
