AM

KLAF 2026: INISIATIF "BUDAYA MASA HADAPAN" UNTUK PERKUKUH SENI BINA, WARISAN DAN KOMUNITI

17/12/2025 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026 anjuran Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) bakal kembali dengan program sepanjang tahun bertemakan “Budaya Masa Hadapan”.

Dalam kenyataan hari ini, KLAF memaklumkan festival itu yang akan dilancarkan pada 17 Jan ini di  REXKL, terus berperanan sebagai platform utama bagi aktiviti seni bina, reka bentuk, kreativiti dan penglibatan awam di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, kerjasama KLAF 2026 dengan agensi kerajaan, pemain industri dan pihak universiti akan memperkukuh landskap budaya, kreativiti dan pelancongan negara di samping menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan Tahun Melewat Malaysia 2026.

“KLAF 2026 memberi penekanan kepada reka bentuk yang lestari dan responsif iklim, termasuk guna semula adaptif, strategi bangunan sedia ada serta prinsip reka bentuk tropika yang disokong oleh inovasi bahan serta kaedah yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pendekatan ini bertujuan memelihara warisan sambil mengintegrasikan amalan kontemporari,” menurut kenyataan itu.

Festival itu juga akan menumpukan kepada inovasi dan penggunaan alat digital, termasuk reka bentuk dibantu janaan kecerdasan buatan (AI), fabrikasi digital dan teknologi imersif, bagi menggalakkan aliran kerja yang lebih cekap dan kreatif, dengan disokong bengkel praktikal yang membina kemahiran masa hadapan.

“Pembangunan bandar dan penciptaan ruang turut menjadi fokus utama festival ini, dengan penerokaan dalam pembaharuan bandar, komuniti berorientasikan transit, kebolehdiaman serta perancangan bandar berdaya tahan bagi mewujudkan ruang awam yang inklusif dan lestari,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan KLAF 2026 akan terus menyokong pembangunan profesional menerusi wacana, kelas induk dan sesi Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) yang diiktiraf, meliputi trend reka bentuk, kemajuan teknikal, kelestarian dan amalan baharu muncul.

Menurut kenyataan itu bagi pertandingan reka bentuk pula akan menyediakan platform praktikal untuk pembangunan bakat dan akan dibuka kepada ahli, pereka serta orang awam.

“Penyertaan awam akan memainkan peranan penting menerusi aktivasi bandar dan program kerjasama di seluruh kawasan kejiranan, taman, nod transit dan ruang awam. Aktiviti percuma dan mudah diakses seperti pameran, ‘pop-up’, penerokaan bandar, sambutan festival dan bengkel komuniti akan diperkenalkan sepanjang tahun,” menurut KLAF.

Sementara itu, Pengarah KLAF Lim Gim Huang dalam kenyataan sama berkata objektif utama KLAF 2026 adalah untuk mengangkat seni bina Malaysia melalui pertukaran idea bukan sahaja dalam aspek seni bina tetapi merangkumi bidang kreatif lain yang berkaitan dengan persekitaran binaan, penciptaan ruang, bandar, reka bentuk, seni, budaya dan komuniti.

Beliau berkata penganjuran festival itu juga bertujuan untuk menjadikan seni bina yang baik lebih dikenali, mudah difahami dan dapat diakses orang ramai selaras dengan aspirasi festival tersebut. 

“Objektif utamanya adalah untuk membawa seni bina yang baik lebih dekat dengan kehidupan seharian dan ruang awam melalui konsep dan konteksnya, selain memupuk penyertaan komuniti, berkerjasama dengan penduduk, perniagaan dan ruang bandar, serta merangsang pertumbuhan seni, kebudayaan dan ekonomi melalui aktiviti bandar dan pelancongan kreatif.

“Rakan kerjasama termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, badan kerajaan seperti Tourism Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain venue seni dan kebudayaan, pemilik F&B, para artis dan pereka. Dengan menghimpunkan komuniti daripada pelbagai bidang dan latar belakang, KLAF 2026 berhasrat menggalakkan penyertaan secara langsung dan menjadikan seni bina Malaysia lebih bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kurator KLAF Rien Tan Kwon Chong berkata festival tersebut bertujuan menzahirkan hubungan ini menerusi program yang dapat memperkukuh penghargaan orang ramai terhadap seni bina dan persekitaran binaan.

“KLAF 2026 dipacu oleh dua acara teras iaitu Persidangan Datum: KL yang bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta serta Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) di MITEC yang pada edisi terdahulu berjaya menarik lebih 40,000 pengunjung dari lebih 100 negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan