SUKAN

LIGA SUPER: REKOD TANPA KALAH KL CITY LEBUR DI TANGAN JDT

18/12/2025 12:57 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Rekod tanpa kalah Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super musim ini lebur selepas tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, JDT berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Cristian Glauder yang menanduk masuk sepakan penjuru Oscar Arribas.

Selang dua minit kemudian, pemain sayap Harimau Selatan Manuel Hidalgo tenang menyumbat masuk bola muntah untuk jaringan kedua JDT sebelum Jairo Da Silva meledak gol ketiga pelawat pada masa kecederaan babak pertama untuk Harimau Selatan mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, JDT dilihat terus bernafsu mencari gol apabila terus mengasak kubu skuad warga kota.

Oscar melengkapkan malam cemerlang JDT apabila menjaringkan gol pada minit ke-73 sekali gus menamatkan aksi berkenaan dengan kemenangan 4-0.

Kemenangan itu menyaksikan JDT terus berada di puncak liga dengan mengutip 33 mata penuh dalam 11 perlawanan manakala KL City kekal di tangga kedua dengan mengumpul 23 mata selepas 10 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan