AM

JKPK HESM SYOR SEGERAKAN GUBAL RUU WARGA EMAS

17/12/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat (JKPK HESM) Dewan Negara mengesyorkan kerajaan supaya menyegerakan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas bagi memastikan golongan itu dilindungi dari aspek hak asasi dan kehidupan bermaruah.

Pengerusi JKPK HESM Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata jawatankuasa itu telah membentangkan Penyata JKPK HESM berhubung isu Penjagaan dan Kebajikan Warga Emas serta maklum balas kementerian dan agensi berkaitan terhadap syor penyata tersebut di Majlis Mesyuarat Dewan Negara semalam.

“Ia merupakan satu syor penambahbaikan dan tindakan yang boleh dilaksanakan kerajaan supaya sektor penjagaan warga emas sentiasa diutamakan dan bagi menjamin kehidupan sosial warga emas yang bermaruah, berkualiti dan sejahtera,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Selain itu, beliau berkata JKPK HESM turut mencadangkan kerajaan menyegerakan penyediaan dan pembentangan kertas putih di Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagai rujukan utama bagi Malaysia menghadapi negara menua.

Mohd Hatta berkata jawatankuasa itu juga menyarankan agar sektor penjagaan warga emas diiktiraf sebagai industri ekonomi baharu yang mampu menjana pendapatan negara dan peluang pekerjaan, bukan sekadar kerja kebajikan.

Antara syor utama lain ialah memperkenalkan dasar persaraan fleksibel, membolehkan warga emas yang masih sihat dan berkemampuan terus bekerja secara kontrak atau sambilan mengikut kemahiran mereka.

Beliau berkata kementerian dan agensi terlibat diminta meneliti dan memberikan maklum balas dalam tempoh enam bulan mengenai cadangan yang terkandung dalam penyata itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan