AM

KPKT PERUNTUK RM15 JUTA BAGI KERJA PEMBAIKAN, SELENGGARA KUARTERS BOMBA

17/12/2025 03:53 PM

PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM15 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara demi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kebajikan wira merah.

Dalam kenyataan hari ini, KPKT memaklumkan peruntukan itu melibatkan pembaikan 642 unit kuarters JBPM yang masih diduduki tetapi mengalami kerosakan kecil, selain usaha pemulihan terhadap kuarters yang dikenal pasti berada dalam keadaan paling kritikal.

“Sebanyak 587 unit kuarters JBPM didapati tidak diduduki berikutan keadaan bangunan yang rosak dan uzur, sekali gus memerlukan kerja-kerja baik pulih segera bagi memastikan aspek keselamatan dan kebolehdiaman dapat dipulihkan.

“JBPM ketika ini mempunyai 5,108 unit kuarters di seluruh negara yang meliputi penempatan di balai bomba, peringkat negeri serta akademi latihan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memberitahu sebahagian kuarters dikenal pasti mengalami masalah struktur dan tidak lagi memenuhi piawaian keselamatan serta keselesaan yang sewajarnya.

“Penilaian mendapati terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih serta rasionalisasi kuarters bagi memastikan anggota bomba dan keluarga mereka dapat mendiami kediaman yang selamat dan selesa,” menurut kenyataan itu.

Kerja-kerja pembaikan melibatkan pembaikan struktur bangunan, bumbung, sistem pendawaian elektrik, sistem perpaipan, kemudahan sanitasi serta aspek keselamatan bangunan, menurut KPKT.

Dalam kenyataan sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kebajikan anggota bomba sentiasa menjadi keutamaan kerajaan memandangkan mereka merupakan barisan hadapan yang berkhidmat tanpa mengira masa dan keadaan.

“Anggota bomba mempertaruhkan nyawa demi keselamatan rakyat, justeru kerajaan komited memastikan mereka dan keluarga dapat mendiami kediaman yang selesa dan selamat,” katanya.

Beliau berkata KPKT menyasarkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan menjelang sambutan Aidilfitri tahun depan.

Nga berkata KPKT akan terus memantau pelaksanaan projek itu dari semasa ke semasa bagi memastikan peruntukan yang disalurkan memberi impak maksimum serta manfaat langsung kepada warga JBPM, sejajar aspirasi Kerajaan MADANI.

Sementara itu, JBPM menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah signifikan yang mampu meningkatkan kesejahteraan, moral serta fokus anggota dalam melaksanakan tugas menyelamat, selain memaklumkan jabatan itu kini menaik taraf Sistem e-Kuarters selari agenda pendigitalan perkhidmatan awam.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan