AM

ANGGOTA BOMBA CEDERA KETIKA OPERASI KEBAKARAN

17/12/2025 04:08 PM

JOHOR BAHRU, 17 Dis (Bernama) -- Seorang anggota bomba cedera ringan selepas dihempap serpihan plaster simen ketika sedang melakukan operasi memadam kebakaran di sebuah premis kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di Taman Johor Jaya, di sini pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II (PBT II) Mohd Salleh KVP Mohamed berkata anggota bomba berusia 23 tahun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya itu mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan ketika menjalankan kerja pemadaman di bahagian luar premis kilang yang dijadikan pasar raya, pada 7.21 pagi.

“Anggota berkenaan telah diberikan rawatan awal oleh Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail menggunakan jentera EMRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebakaran tersebut melibatkan sebuah bangunan kilang IKS setinggi satu setengah tingkat jenis kekal yang dijadikan bahagian pemborong dan pembekal, melibatkan empat pintu premis dengan anggaran kemusnahan sekitar 70 peratus.

Terdahulu, Mohd Salleh berkata 30 anggota bomba dari beberapa balai termasuk BBP Johor Jaya, Larkin dan Tebrau serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin dan PBS Ulu Tiram dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 9.10 pagi manakala kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan keselamatan masih diteruskan setakat ini. Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan