EKONOMI

HAIER MALAYSIA RAI FESTIVAL GLOBAL FANS KETUJUH MELALUI JERAYAWARA INTERAKTIF 

17/12/2025 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Peneraju global dalam penyelesaian kehidupan pintar dan transformasi digital, Haier Group hari ini memulakan Festival Haier Global Fans ketujuh melalui jerayawara interaktif selama lima hari di Pavilion Bukit Jalil.

Haier Group dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ruang pameran interaktif seluas 2,600 meter persegi itu sebagai platform gaya hidup bagi peminat sukan, penggemar bola sepak serta komuniti Haier untuk berhimpun dan menyemarakkan semangat “Champion Your Haier Life”.

Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sukan secara langsung termasuk badminton, bola sepak, dan tenis, di samping menikmati ganjaran eksklusif Haier sepanjang festival berlangsung.

“Acara kali ini membawa makna lebih mendalam, dengan festival Haier Global Fans Festival yang bermula sebagai sambutan digital untuk menghargai sokongan pengguna kini berkembang menjadi satu gerakan jenama berskala antarabangsa yang menghubungkan jutaan peminat di seluruh dunia.

“Ini sekali gus menonjolkan inovasi Haier dan mengukuhkan hubungan dengan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Menurut Haier Group, festival dari 17 hingga 21 Dis itu mengetengahkan pameran inovasi terbaharu yang menampilkan pendekatan reka bentuk dan teknologi berprestasi tinggi, selari dengan semangat kecemerlangan atlet juara.

Pengguna di Malaysia antara terawal berpeluang melihat secara dekat produk seperti peti sejuk Space Fit, mesin basuh pengering Siri L+, penyaman udara UV Cool Color, TV M80 QD-Mini LED, serta pratonton mesin basuh tiga dram yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Haier Malaysia Fan Jing berkata festival berkenaan mencerminkan komitmen syarikat terhadap penghargaan pelanggan dan kemajuan teknologi.

“Sempena festival ketujuh itu, kami bukan sahaja menghargai kesetiaan para pengguna, malah terus memandang ke hadapan untuk membina kehidupan yang lebih pintar, hubungan lebih kukuh serta pertumbuhan bersama,” katanya.

Menurut Haier Group, festival itu turut menampilkan zon demonstrasi produk secara langsung, sesi perkongsian interaktif, aktiviti bersama pencipta kandungan, dan ganjaran eksklusif untuk peminat sekali gus memberikan pengalaman gaya hidup pintar kepada pengunjung.

“Tiada bayaran masuk dikenakan dan pelanggan yang berbelanja minimum RM5,000 untuk mana-mana produk Haier sepanjang tempoh jerayawara layak menebus jersi eksklusif Liverpool FC,” menurut kenyataan itu.

Sebagai jenama yang terus mengukuhkan kepimpinannya dalam industri peralatan rumah, Haier telah menduduki kedudukan No.1 dalam kategori Global Major Appliances Brand Retail Volume oleh Euromonitor International selama 16 tahun berturut-turut.

Haier juga satu-satunya jenama ekosistem Internet benda (IoT) yang tersenarai dalam Kantar BrandZ Top 100 Most Valuable Global Brands selama tujuh tahun, selain tersenarai dalam World’s 500 Most Influential Brands selama 21 tahun

“Dalam pasaran Malaysia, Haier menjangkakan pegangan pasaran sebanyak 11 peratus dengan tahap kesedaran jenama mencecah 93 peratus, peratusan tertinggi dalam kalangan jenama peralatan rumah dari China.

“Produk premium pula menyumbang lebih daripada 38 peratus kepada keseluruhan prestasi Haier di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan