AM

BERNAMA RANGKUL TIGA ANUGERAH MEDIA PEMBINAAN CIDB

17/12/2025 11:18 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul tiga anugerah pada majlis Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini malam ini.

Wartawan Bernama Biro Kelantan Mohd Noor Iqram Rosli memenangi tempat kedua bagi kategori Media Cetak dan Portal Berita (Rencana) menerusi penulisan bersiri, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Rencana itu merangkumi Siri 1 - Berusia Lebih 4 Dekad, Tiba Masa JRTB Dibaik Pulih, Siri 2 - Baik Pulih JRTB: Pakar Syor Kaji Semula Reka Bentuk Jalan, Guna Teknologi Pintar dan Siri 3 - Kerajaan Rangka Pelan Komprehensif Tingkatkan Keselamatan JRTB.

Sementara itu, Wartawan Meja Rencana dan Isu Semasa Muhammad Basir Roslan pula meraih tempat ketiga bagi kategori sama dengan penulisan bertajuk “Penggunaan Dron Tingkatkan Prestasi Sektor Pembinaan Negara” dan menerima wang tunai RM2,000, trofi berserta sijil.

Gandingan penerbit program dan peneraju Bernama Radio Naziana Md Nasir, Nur Syazwani Bakhtiar Azam dan Kamal Azudin Md Yusoff menerusi program bertajuk “Rumah Terbengkalai: Di mana silapnya?” meraih tempat kedua Anugerah Media Penyiaran Radio dan menerima tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Terdahulu, Nanta dalam ucapannya berkata media adalah rakan strategik kementerian yang membantu dalam menyampaikan dasar, inisiatif serta pencapaian kerajaan kepada masyarakat.

Beliau berkata penganjuran majlis itu bertujuan menggalakkan penghasilan kandungan kewartawanan dan liputan media yang berkualiti mengenai industri pembinaan termasuk isu keselamatan tapak binaan, kelestarian alam sekitar, penerapan teknologi baharu serta aspek lain yang menyumbang kepada pembangunan mampan industri pembinaan negara.

“Media memainkan peranan yang amat strategik dalam menyokong pelaksanaan dasar dan hala tuju sektor pembinaan yang digariskan oleh KKR dan CIDB.

“Melalui laporan yang tepat, seimbang dan bertanggungjawab, media membantu memastikan dasar, peraturan serta inisiatif kerajaan difahami dengan jelas oleh pemain industri dan masyarakat umum,” katanya.

Nanta berkata penganjuran Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025 buat kali kelapan adalah platform penting untuk menghargai sumbangan pengamal media yang telah mengangkat isu industri pembinaan secara profesional, berimbang dan berimpak.

Pengiktirafan itu, katanya adalah tanda penghormatan terhadap usaha, integriti dan komitmen media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Pada majlis itu, kira-kira 40 pengamal media menerima anugerah dan sebanyak 187 penyertaan diterima bagi semua kategori sejak penyertaan dibuka.

Kategori dipertandingkan ialah Anugerah Media Cetak dan Portal Berita (Laporan Khas Berita), Anugerah Media Cetak dan Portal Berita (Rencana), Anugerah Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian (Laporan Khas dan Dokumentari), Anugerah Penyiaran Radio, Fotografi serta kategori Infografik.

Pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM5,000 bagi tempat pertama, kedua (RM3,000) dan ketiga (RM2,000) serta sagu hati (RM1,000), selain trofi dan sijil penyertaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan