AM

DIVIDEN FELCRA 2025 DITETAPKAN 15 PERATUS, DIBAYAR AWAL TAHUN DEPAN - AHMAD ZAHID

18/12/2025 12:45 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Dividen berasaskan operasi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan pada kadar 15 peratus dan dijangka dibayar pada awal tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penetapan dividen itu mencerminkan keupayaan FELCRA mengekalkan keuntungan yang lebih berdisiplin dan pemantauan rapi bagi memastikan koperasi dan anak-anak syarikatnya terus mencatatkan prestasi mampan tanpa ketirisan. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pendekatan yang telus perlu menjadi asas kepada prestasi kewangan koperasi itu, selain memastikan kepentingan ahli sentiasa diberi keutamaan.

“Kita mahu koperasi ini terus menjadi contoh terbaik, bukan sahaja dari segi keuntungan, tetapi dari segi tadbir urus dan manfaat kepada ahli. Pendekatan saya adalah pendekatan hands on dan jika lakukan pemantauan tidak boleh terburu-buru dan melakukan ketirisan," katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-43 Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFMB) di sini, malam ini.

Turut hadir Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Koperasi KPFMB Datuk Sabari Misran.

Ahmad Zahid berkata prestasi KPFB sebagai anak syarikat membuktikan kekuatan model koperasi yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dan tanggungjawab sosial selaras dengan prinsip pembangunan inklusif.

Beliau berkata keutamaan pengurusan diberikan kepada KPFB kerana jumlah ahlinya jauh lebih besar berbanding pemegang saham anak-anak syarikat lain, sekali gus memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh.

“KPFB bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya membina kejayaan perniagaan yang memberi manfaat kepada peserta, komuniti dan keseluruhan ekosistem FELCRA,” katanya.

Sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, KPFB telah menyalurkan dividen melebihi RM20 juta kepada koperasi-koperasi peserta FELCRA di bawah naungannya dengan prestasi cemerlang yang turut diiktiraf menerusi anugerah Status Koperasi Premier 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan elaun kehadiran bagi Mesyuarat Agung Perwakilan KPFB pada tahun ini ditetapkan sebanyak RM1,000 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, kesetiaan dan peranan aktif para perwakilan dalam memperkukuh hala tuju koperasi.

Beliau berkata kadar itu bukan sahaja mencerminkan kekuatan kedudukan kewangan koperasi, malah membuktikan keupayaan KPFB untuk terus memberikan pulangan yang adil dan berterusan kepada para anggotanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan