AM

SKIM PERKHIDMATAN AKPS DIJANGKA TAHUN HADAPAN, BENTUK IDENTITI DAN DISPLIN ANGGOTA

18/12/2025 09:54 AM

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Skim Perkhidmatan tersendiri bagi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka dapat direalisasikan tahun hadapan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh struktur organisasi, budaya kerja dan disiplin di pintu masuk negara.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pewujudan skim itu bukan sahaja bertujuan menamatkan kebergantungan kepada pengkaderan pegawai daripada enam agensi teras, malah menjadi asas kepada pembinaan budaya kerja berdisiplin, kepatuhan arahan dan berteraskan pembudayaan rantaian arahan atau chain of command.

Agensi teras itu adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.

"Sekiranya sudah wujud skim APKS sendiri, kita dibenarkan untuk membuat pengambilan baharu. Jadi antara benda yang saya akan tekankan di situ ialah perihal menghormati (arahan), disiplin, chain of command bukan sahaja memahami rantaian arahan ini tetapi perlu dibudayakan.

"Ia akan dilaksanakan secara tersusun untuk mendisiplinkan dan mengubah apa yang sedang berlaku. Ini peluang terbaik untuk kita bawakan pembaharuan kerana semua orang bercakap perkara ini dah lama, sampai bila kita harus terus begini," katanya pada sidang media berhubung pencapaian AKPS dan hala tuju 2026, di sini.

Mohd Shuhaily berkata skim perkhidmatan tersendiri AKPS akan membolehkan agensi itu membentuk identiti profesionalnya sendiri, selain memastikan setiap anggota yang dilantik benar-benar sesuai dengan keperluan operasi serta nilai yang ingin diterapkan.

Beliau berkata langkah berkenaan sejajar aspirasi kerajaan untuk memperkukuh kawalan pintu masuk negara secara lebih berkesan, telus dan diyakini rakyat, di samping memastikan AKPS berkembang sebagai sebuah agensi keselamatan sempadan yang berintegriti.

Beliau berkata kerajaan melalui Ketua Setiausa Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah mengambil maklum, menyokong langkah itu dan sedang berusaha ke arah tindakan.

"KSN telah mengarahkan satu mesyuarat jemaah pengoperasian diadakan setiap bulan. Jadi, kita dijadulkan untuk mengadakan satu mesyuarat lagi. Dalam mesyuarat itu, isu yang saya sebutkan tadi telah pun didengar dan telah pun diberi arahan oleh KSN untuk diambil tindakan. Jadi, banyak perkara telah dipercepatkan. Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk melihat pekara ini menjadi satu realiti," katanya.

Mohd Shuhaily turut menyuarakan hasrat peribadinya untuk melihat kewujudan satu detasemen rasmi AKPS menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

"Saya secara peribadi ingin melihat 31 Ogos itu akan ada satu detasemen daripada AKPS. Itu cita-cita peribadi saya," katanya.

Mengulas aspek pembudayaan chain of command, beliau berkata budaya kerja sedia ada yang melibatkan enam agensi teras masih belum sepenuhnya bersifat tersusun walaupun setiap agensi mempunyai sistem pangkat dan latihan masing-masing.

Mohd Shuhaily memberi contoh arahan larangan membawa telefon ke kaunter pemeriksaan oleh pegawai imigresen yang telah dikeluarkan sejak sekian lama namun masih gagal dipatuhi sepenuhnya, yang beliau disifatkan sebagai tidak menghormati chain of command

Sehubungan itu, beliau berkata perubahan dalam perkhidmatan kawalan sempadan negara adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, selari dengan tuntutan dan kehendak rakyat.

"Perubahan ini pasti berlaku. Ia tidak boleh dielakkan lagi kerana rakyat sudah meminta perubahan. Sampai bila kita ingin menafikan kehendak rakyat terhadap perubahan tersebut.

"Aduan datang daripada orang awam, rakyat. Dalam melaksanakan perubahan ini, akan ada reaksi negatif dan risiko tetapi saya bersedia mengambil risiko hanya untuk menjayakan hasrat kerajaan dan  kehendak rakyat," katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan