AM

TERENGGANU MOHON PERUNTUKAN KEPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN BAIKI JALAN RUNTUH

18/12/2025 12:38 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu telah memohon peruntukan kecemasan daripada kerajaan Persekutuan bagi membaiki Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris berhampiran Sungai Deka Elephant Conservation Center, Hulu Terengganu, yang runtuh semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) Datuk Hanafiah Mat berkata kos pembaikian itu dianggarkan menelan belanja RM1.5 juta, termasuk kerja pemasangan cerucuk kepingan dan pembinaan lencongan sementara bagi memastikan keselamatan struktur jalan serta mengelak akses ke pusat santuari gajah berkenaan terputus.

Beliau berkata runtuhan susulan itu melibatkan hakisan tanah di tepi bawah struktur pembentung (culvert) akibat aliran air deras semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) yang menjejaskan kestabilan tanah serta struktur saliran di lokasi berkenaan.

"Untuk maklumat orang awam, laluan itu telah diwartakan sebagai ditutup oleh kerajaan Persekutuan atas faktor keselamatan dan kekal ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

"Kejadian runtuhan susulan itu mengesahkan bahawa laluan tersebut berisiko tinggi dan tidak selamat digunakan. Oleh itu, status penutupan jalan dikekalkan manakala Pelan Pengurusan Trafik (TMP), papan tanda amaran dan lencongan telah dipastikan dalam keadaan baik dan jelas," katanya dalam kenyataan hari ini.         

Selain itu, Hanafiah berkata pemantauan secara berterusan turut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Terengganu dengan kerjasama Roadcare (M) Sdn Bhd bagi memastikan keselamatan orang ramai dari semasa ke semasa.

"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya arahan penutupan, tanda amaran dan penghadang keselamatan serta tidak menggunakan laluan diwartakan tutup bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti baru-baru ini.

"Pengguna jalan raya juga digalak merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif melalui Jerteh-Machang-Gua Musang atau Jerteh-Kuala Krai-Gua Musang untuk ke destinasi masing-masing," katanya.

Semalam, Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan kejadian hakisan tanah di kawasan permukaan dinding culvert atau pembetung akibat arus air yang deras.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abd Wahab berkata sebelum ini sebahagian jalan itu mula mengalami hakisan tanah pada Mei lepas, namun ia runtuh sepenuhnya pada 7 pagi semalam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan