AM

10 PREMIS PASAR RAYA DI MELAKA TERLIBAT PJRM KEMBALI KE SEKOLAH

19/12/2025 12:43 AM

MELAKA, 18 Dis (Bernama) -- Sebanyak lima pasar raya melibatkan 10 premis di Melaka melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Kembali ke Sekolah dari hari ini hingga 28 Dis, kata Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin. 

Pasar raya itu ialah Mydin MITC, Mydin Wholesale Hypermarket Bandar Jasin Bestari, Ten Ten Duyong, Ten Ten Taman Debunga Merlimau, Ten Ten Bukit Baru, Ten Ten Sungai Udang, AEON Ayer Keroh, Lotus's Peringgit, Pusat Pakaian Hari-Hari Bandar Satelit Pulau Sebang dan Pusat Pakaian Hari-Hari Masjid Tanah.

Seah berkata PJRM itu melibatkan tawaran diskaun antara 20 hingga 30 peratus bagi kategori barangan keperluan persekolahan seperti pakaian, kasut, stoking, beg dan alat tulis dalam tempoh berkenaan.

“PJRM Kembali ke Sekolah dilaksanakan untuk membantu ibu bapa dengan mengurangkan kos perbelanjaan membeli barangan keperluan persekolahan anak, khususnya golongan B40.

“Walaupun barangan lebih murah berbanding harga asal namun kualiti masih diberi keutamaan agar berbaloi dengan pembelian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PJRM Kembali ke Sekolah bagi Sesi Persekolahan 2026 di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin.

Sehubungan itu, Seah menyarankan penduduk Melaka mengunjungi pasar raya terlibat inisiatif itu untuk menikmati manfaat ditawarkan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 1,150 PJRM telah dilaksanakan di Melaka dan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 999,470 orang pengunjung dari 1 Jan hingga 14 Dis.

Beliau berkata platform itu menawarkan barangan keperluan asas dan dapur pada harga lebih murah antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga biasa dan dilaksanakan menerusi beberapa kategori, iaitu PJRM Bergerak, PJRM Premis, PJRM Musim Perayaan, PJRM @Pasar dan PJRM @Kampus.

“Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan PJRM berjaya memberi impak positif kepada rakyat dan Kerajaan MADANI sangat komited untuk terus membantu rakyat berhadapan isu kos sara hidup.

“Pada tahun hadapan, kerajaan negeri bercadang meningkatkan lagi penganjuran PJRM supaya lebih banyak rakyat mendapat manfaat,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan