AM

ROMBAKAN KABINET: STRATEGI SEIMBANG ANTARA MERIT, POLITIK DAN KELANGSUNGAN KERAJAAN

18/12/2025 12:51 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan baru-baru ini bukan sekadar penyusunan semula jawatan, sebaliknya mencerminkan percaturan strategik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengimbangi kepakaran, pengalaman, keperluan pentadbiran serta realiti politik negara.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Ku Hasnita Ku Samsu berkata pelantikan baharu, kenaikan pangkat dan pertukaran portfolio yang dilakukan memperlihatkan usaha memperkukuh keberkesanan kerajaan serta mengekalkan legitimasi dalam landskap politik berbilang parti dan kaum.

"Rombakan Kabinet mencerminkan usaha menyeimbangkan merit dan politik, pembaharuan dan pengalaman, serta kesinambungan dan perubahan. 

"Keberkesanannya akan diukur bukan sekadar melalui komposisi Kabinet, tetapi sejauh mana barisan menteri ini mampu menterjemahkan mandat politik kepada dasar yang berkesan dan dirasai rakyat," katanya kepada Bernama.

Dari sudut merit, Ku Hasnita berkata beberapa pelantikan utama menunjukkan penekanan terhadap kepakaran dan profesionalisme. 

"Antaranya Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang berlatarbelakangkan ekonomi, Dr Zulkifli Hasan dengan kepakaran dalam bidang syariah, dan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang mempunyai pengalaman antarabangsa termasuk dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia. 

"Pendekatan ini dilihat selari dengan tuntutan masyarakat sivil agar Kabinet dibentuk berasaskan keupayaan dan pengetahuan," katanya.

Beliau berkata pertimbangan politik juga memainkan peranan penting, dan pelantikan Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dilihat membawa nilai simbolik dalam meredakan sentimen aktivisme mahasiswa.

Katanya, langkah itu mencerminkan pendekatan pragmatik bagi mengekalkan kestabilan politik dalam masyarakat majmuk.

"Rombakan ini turut menonjolkan agenda pembaharuan generasi dengan pelantikan pemimpin muda dalam jawatan menteri, iaitu Dr Mohammed Taufiq Johari yang berusia 29 tahun dan Akmal Nasrullah berumur 39 tahun. 

"Pelantikan ini dilihat sebagai usaha mendekatkan kerajaan dengan pengundi muda, khususnya kumpulan Undi18 yang kini membentuk hampir 30 peratus pengundi.

"Walaupun kehadiran generasi muda membawa perspektif segar dan kefahaman teknologi digital, pemerhati berpandangan kekurangan pengalaman pentadbiran boleh menjadi cabaran dalam mengurus krisis atau rundingan dasar yang kompleks," katanya.

Dari aspek profesionalisme, Ku Hasnita berkata rombakan Kabinet kali ini menunjukkan kecenderungan jelas ke arah pelantikan teknokrat, dengan kebanyakan menteri baharu memiliki kelayakan akademik tinggi dan pengalaman sektor swasta atau antarabangsa, sekali gus berpotensi membawa pendekatan berasaskan pasaran dan amalan terbaik global ke dalam pentadbiran kerajaan. 

Dari segi representasi, beliau berkata Hannah Yeoh kekal sebagai tokoh wanita utama dalam Kabinet, manakala pelantikan Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengukuhkan lagi peranan wanita dalam pentadbiran. 

Selain itu, beliau berkata pelantikan tokoh khusus bagi mengurus kepentingan Sabah dan Sarawak dilihat sebagai respons terhadap tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kebangkitan "Blok Borneo" sebagai kuasa penentu dalam politik Persekutuan.

Dalam masa sama, beliau berkata strategi menaikkan pangkat timbalan menteri kepada menteri penuh membantu menjamin kesinambungan dasar, manakala pertukaran portfolio pula bertujuan membawa perspektif baharu dan mengelakkan ketaksuban dasar. 

"Namun, pertukaran ini juga memerlukan tempoh penyesuaian yang boleh memberikan kesan kepada momentum pelaksanaan dasar dalam jangka pendek," katanya.

Perdana Menteri pada Selasa lepas mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu termasuk pelantikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustafa Sakmud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Penyusunan semula anggota Jemaah Menteri itu adalah sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ini merupakan yang kedua selepas kali pertama dilaksanakan pada Disember 2023.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan