AM

DANA PEMBIAYAAN BUMIPUTERA, USAHAWAN INDIA DINAIKKAN PADA 2026 - SIM

18/12/2025 01:09 PM

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Dana pembiayaan bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan dinaikkan daripada RM300 juta tahun ini kepada RM500 juta pada 2026, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Beliau berkata ia sebagai dasar pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi merentas kaum.

“Pembiayaan untuk usahawan India melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) akan dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta pada 2026, manakala satu skim baharu pembiayaan PMKS masyarakat Cina sebanyak RM50 juta akan dilancar pada Januari 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi mendengar taklimat pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada hari pertama mengemudi kementerian itu di sini hari ini.

Sim berkata moratorium enam bulan tanpa faedah juga akan diberikan kepada PMKS dan koperasi terjejas akibat banjir, iaitu merangkumi pinjaman daripada tujuh agensi di bawah KUSKOP.

Ia termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Terdahulu, beliau tiba di bangunan KUSKOP kira-kira 9.10 pagi dan disambut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin yang juga lantikan baharu dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Sim dalam pada itu berkata KUSKOP telah mendapat mandat penting daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan pertumbuhan ekonomi rakyat melalui pemerkasaan perusahaan PMKS dan gerakan koperasi.

“Hari ini, saya telah menggariskan satu strategi bagi memfokuskan usaha warga KUSKOP bagi mencapai mandat mengemudi pertumbuhan perniagaan Malaysia mengikut strategi ABCD.

“Ia merangkumi Anjakan produktiviti, Birokrasi dipermudah, Capaian modal dan Daya akses pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sim menegaskan isu pertukaran portfolio beliau tidak seharusnya dilihat sebagai penurunan pangkat atau downgrade, sebaliknya tumpuannya kini adalah untuk terus memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi negara.

Pada Selasa, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Sim sebelum ini merupakan Menteri Sumber Manusia manakala Mohamad merupakan Timbalan Menteri Luar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan