POLITIK

KERJASAMA DENGAN PARTI NASIONAL TIDAK BERCANGGAH DENGAN PRINSIP PBS - DR JOACHIM

18/12/2025 04:10 PM

PENAMPANG, 18 Dis (Bernama) -- Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menegaskan kerjasama dengan parti nasional tidak bercanggah dengan prinsip parti itu, sebaliknya selari dengan realiti politik semasa serta kepentingan rakyat Sabah.

Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata kerjasama Kerajaan Negeri Sabah yang dianggotai PBS, dengan Kerajaan Persekutuan juga bukan tindakan songsang sebaliknya sejajar dengan semangat persatuan serta hubungan perlembagaan antara negeri dan negara.

“Kita akan mematuhi perlembagaan negeri Sabah, kita mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Maka untuk kita bekerjasama itu bukanlah bertentangan dengan prinsip PBS,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-40 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Dr Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri turut menolak naratif pihak tertentu yang cuba memesongkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ sebagai retorik anti-Malaya atau usaha membawa Sabah keluar daripada Malaysia.

“Ini bukan semangat sebenar slogan Sabah for Sabahan. Ia bermaksud memastikan anak-anak Sabah memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri dan Persekutuan, terutama jawatan yang beroperasi di Sabah,” katanya.

Beliau berkata gagasan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan PBS adalah parti komponennya, membawa makna lebih luas, bukan hanya merujuk kepada Sabah tetapi juga Malaysia keseluruhannya.

“Kita harus melihat gambaran lebih besar. Slogan itu bukan sahaja merujuk kepada Sabah, tetapi juga kepada rumah besar yang kita kongsi iaitu negara Malaysia. Jika Sabah maju, Malaysia turut maju. Jika Sabah stabil, Malaysia juga ikut stabil. Kita adalah juga rakyat Malaysia hidup di Sabah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Dr Joachim berkata beliau sependapat dengan pandangan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor bahawa GRS mungkin mempertimbangkan untuk memberi laluan serta tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

“Saya rasa ia keputusan yang wajar jika kita mahukan kestabilan di negeri ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, dengan penamaan calon pada 10 Jan dan pengundian awal, 20 Jan.

PRK perlu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan