KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- ASIA Records hari ini menganjurkan Gather of Achievers yang julung kali diadakan sekali gus menandakan satu pencapaian penting, kira-kira dua bulan selepas pelancaran rasminya pada 22 Okt lepas.
Acara itu menghimpunkan pemegang rekod, organisasi, rakan strategik, peneraju industri, wakil media serta orang ramai, yang mengukuhkan lagi visi platform berkenaan bahawa pencapaian bukan sahaja perlu diiktiraf secara rasmi, malah dikongsi, diraikan dan dinikmati oleh komuniti secara lebih menyeluruh.
Pengarah Eksekutif ASEAN Records dan ASIA Records Eldrick Koh berkata inisiatif ASIA Records itu bertujuan menyuntik inspirasi kepada masyarakat di seluruh benua supaya yakin yang kecemerlangan boleh dicapai tanpa mengira latar belakang atau kewarganegaraan.
“Kami berhasrat menggalakkan lebih banyak organisasi menetapkan sasaran lebih tinggi dan melihat usaha mereka sebagai sebahagian daripada naratif Asia secara lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Gather of Achievers ASEAN Records ketujuh dan ASIA Records pertama serta ulang tahun pertama ASEAN Records di Pavilion Bukit Jalil, di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Samuel Lee Thai Hung serta Pengarah Urusan ASIA Records dan ASEAN Records Gillian Ooi.
Sepanjang acara itu, sejumlah 24 Rekod ASIA baharu telah diiktiraf, merangkumi pencapaian daripada perusahaan kecil sehingga syarikat besar, termasuk 15 rekod merentas sektor kreatif, teknologi, makanan, penjagaan kesihatan, produk pengguna, pendidikan dan inovasi.
Acara itu turut mengiktiraf sembilan pemegang rekod Edisi Industri Pemaju untuk pencapaian dalam taman perindustrian mampan, pembangunan bandar berskala besar, pembangunan bandar bersepadu, infrastruktur perindustrian pintar dan mesra alam, projek perumahan diperakui hijau, serta ekosistem komersial inovatif.
Di samping itu, acara berkenaan juga menampilkan pameran terpilih daripada Asia Tourism Records, mengetengahkan bangunan yang menjadi pemegang rekod, destinasi pelancongan, mercu tanda budaya dan tapak warisan di seluruh rantau ini.
Ooi berkata pemaju bukan sekadar pembina struktur, sebaliknya pencipta bandar, komuniti dan pengalaman.
“Sebab itu kami memutuskan untuk menampilkan pemaju dalam edisi pemaju Asia Records yang pertama kerana mereka bukan sekadar membina struktur, tetapi mewujudkan komuniti, membentuk landskap bandar dan menyokong ekosistem pelancongan,” katanya.
ASIA Records dimiliki dan dikendalikan oleh Asia Records Sdn Bhd dan domain rasmi platform itu, www.asiarecords.com didaftarkan sejak 2013 yang mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap pendokumentasian dan pengiktirafan rekod.
-- BERNAMA
