AM

DISKAUN TOL 50 PERATUS SEMPENA KRISMAS PADA 23, 24 DIS - NANTA

19/12/2025 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Dis ini kepada pengguna kenderaan persendirian bersempena dengan sambutan Hari Krismas. 

Diskaun tol ini diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

“Pemberian diskaun tol ini diharap dapat meringankan sebahagian daripada beban kos perjalanan rakyat yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama-sama keluarga, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI membantu rakyat semua peringkat merentas kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya. 

Beliau berkata pemilihan tarikh diskaun tol juga bertujuan menyuraikan trafik musim perayaan dan cuti sekolah serta mengoptimumkan operasi lebuh raya di kawasan hentian serta Rehat & Rawat (RSA).

Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan menggunakan TuJu Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA, serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA), had laju, papan tanda dan peraturan di lebuh raya bagi memastikan perjalanan selamat.

Mereka boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X @LLMtrafik, TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM 1-800-88-7752.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan