KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Talbotiq Technologies Sdn Bhd Akhil Gupta dianugerahkan Future ESG Visionary Award pada Anugerah ESG PLUS 2025, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen beliau dalam menyepadukan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbr Urus (ESG) ke dalam strategi perniagaan berasaskan teknologi.
Dalam kenyataan hari ini, Talbotiq Technologies Sdn Bhd memaklumkan anugerah kategori Visi dan Komitmen Masa Depan ESG itu menghargai individu yang menunjukkan visi jelas dalam memajukan prinsip ESG dan mampu menterjemahkannya kepada pencapaian yang boleh diukur.
Menurut Talbotiq Technologies, Akhil diiktiraf berdasarkan pengalaman beliau selama lebih 25 tahun dalam infrastruktur teknologi maklumat (IT), automasi digital dan pembangunan modal insan serta sumbangannya dalam membangunkan model perniagaan lestari dan berskala yang menekankan kelestarian, keadilan dan tadbir urus yang kukuh.
“Selaku Pengasas dan CEO bagi konglomerat yang beroperasi di 16 negara, Akhil sentiasa mempromosikan ESG sebagai kerangka transformasi dan bukannya sekadar kewajipan pematuhan.
“Menerusi Talbotiq Technologies, sebuah syarikat teknologi perniagaan dan sumber manusia berasaskan kecerdasan buatan (AI), beliau telah memacu pembangunan penyelesaian yang menyokong pengambilan pekerja secara adil, operasi tanpa kertas, produktiviti tempat kerja serta ekosistem digital yang terangkum,” menurut kenyataan itu.
Impak ESG Akhil turut meluas menerusi kepimpinannya di Total IT Global, yang mengamalkan kitar hayat teknologi informasi bersiri dan model pembuatan semula, sekali gus memanjangkan jangka hayat perkakasan, mengurangkan sisa elektronik dan pelepasan karbon.
Beroperasi di 128 negara, syarikat berkenaan mematuhi piawaian antarabangsa seperti ISO/IEC 27001, ISO/IEC 27701, ISO 9001 serta ISO 37001, sekaligus memperkukuh tadbir urus, keselamatan data dan amalan perniagaan beretika.
Di peringkat industri, Akhil berkhidmat selaku Naib Presiden Persatuan ESG Malaysia (ESGAM) dan menjawat kepimpinan serta ahli jawatankuasa dalam Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) dan GBS Malaysia, yang memberi sumbangan terhadap dialog mengenai amalan ESG, transformasi digital serta inovasi yang bertanggungjawab.
Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Akhil berkata ESG perlu diterapkan dalam strategi, budaya serta kepimpinan sesebuah syarikat.
“Teknologi, tadbir urus dan sumber manusia perlu bergerak seiring untuk mencipta nilai jangka panjang bagi organisasi, komuniti dan planet. Anugerah ini mengukuhkan komitmen saya dalam membangunkan penyelesaian dan ekosistem yang memberi impak positif yang dapat diukur,” katanya.
-- BERNAMA
