DUNIA

IPC: KEBULURAN DI GAZA BERJAYA DIELAKKAN, NAMUN 1.6 JUTA PENDUDUK MASIH HADAPI KRISIS KELAPARAN

20/12/2025 01:19 PM

BRUSSELS/GENEVA, Dis 20 (Bernama-Anadolu) -- Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengalu-alukan perkembangan bahawa kebuluran di Semenanjung Gaza berjaya dielakkan buat sementara waktu, namun memberi amaran bahawa kemajuan rapuh itu boleh kembali merosot dengan cepat sekiranya sokongan kemanusiaan tidak dipertingkatkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Program Makanan Sedunia (WFP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tahap kelaparan, kekurangan zat makanan, penyakit serta kemusnahan infrastruktur pertanian kekal pada tahap membimbangkan.

Menurut laporan terbaharu Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), tiada kawasan di Semenanjung Gaza ketika ini diklasifikasikan sebagai menghadapi kebuluran susulan gencatan senjata yang ditandatangani pada Oktober lalu.

Antara 16 Okt hingga 30 Nov, kira-kira 1.6 juta orang, atau 77 peratus daripada populasi yang dianalisis, mengalami tahap ketakjaminan makanan akut yang tinggi, diklasifikasikan sebagai IPC Fasa 3 (Krisis) atau lebih teruk, menurut analisis itu.

Ini termasuk lebih setengah juta orang dalam kategori Kecemasan (IPC Fasa 4) dan lebih 100,000 orang berdepan Malapetaka (IPC Fasa 5), iaitu klasifikasi paling teruk.

Walaupun perkembangan terkini dalam suasana gencatan senjata yang rapuh, termasuk cadangan pelan damai serta peningkatan kemasukan bekalan makanan, telah membantu meredakan keadaan paling ekstrem, IPC memberi amaran bahawa prospek kekal suram.

Dari 1 Dis hingga 15 April 2026, kira-kira 1.6 juta orang masih dijangka berdepan tahap ketakjaminan makanan “Krisis atau lebih teruk”. Ini termasuk anggaran 571,000 orang dalam keadaan Kecemasan dan kira-kira 1,900 orang dalam kategori Malapetaka, mencerminkan pengurangan dalam kes paling ekstrem namun belum kembali kepada kestabilan.

Situasi pemakanan turut menunjukkan sedikit penambahbaikan berbanding analisis sebelum ini, namun masih berada pada tahap membimbangkan.

Hampir 101,000 kanak-kanak berusia enam hingga 59 bulan dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut di seluruh Semenanjung Gaza sehingga pertengahan Oktober 2026, termasuk lebih 31,000 kes teruk. Dalam tempoh sama, dianggarkan 37,000 wanita hamil dan menyusukan anak juga dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut dan memerlukan rawatan.

Walaupun gencatan senjata telah meningkatkan penghantaran makanan dan bekalan asas, kebanyakan keluarga masih bergelut susulan pemindahan paksa, infrastruktur rosak serta akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan, air dan sanitasi, menurut agensi-agensi PBB, menyebabkan 79 peratus isi rumah tidak mempunyai akses mencukupi kepada makanan atau air bersih.

“Kanak-kanak di Gaza tidak lagi berdepan kebuluran yang membawa maut, namun mereka masih berada dalam bahaya besar. Selepas lebih dua tahun konflik berterusan tanpa henti, tubuh dan otak kanak-kanak yang sedang berkembang menanggung kesan mendalam dan berpanjangan,” kata Pengarah Operasi Kecemasan UNICEF, Lucia Elmi, sambil menggesa akses kemanusiaan yang berterusan serta keamanan berkekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan