AM

SKIM LINDUNG 24/7 INISIATIF PROGRESIF, BERIMPAK TINGGI - LEE LAM THYE

20/12/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Pengenalan Skim Lindung 24/7 yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial sepanjang masa ialah satu inisiatif progresif dan berimpak tinggi yang memperkukuh perlindungan pekerja.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah itu juga  mencerminkan komitmen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.

Beliau yang menyambut baik kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan berkata PERKESO akan melaksanakan skim itu pada suku pertama atau kedua tahun hadapan.

Ia bakal menyaksikan perluasan perlindungan di luar waktu bertugas, yang mengambil kira realiti bahawa pekerja masih berdepan risiko walaupun selepas pulang bekerja.

“Selama beberapa dekad, PERKESO telah menyediakan perlindungan penting terhadap kecederaan dan penyakit berkaitan pekerjaan.

“Skim Lindung 24/7 menandakan satu evolusi penting dengan memastikan pekerja dilindungi sepanjang masa, termasuk semasa perjalanan, aktiviti peribadi dan rutin harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata skim itu memberikan kelegaan kepada jutaan pekerja dan keluarga mereka, apatah lagi ketika peningkatan kes kemalangan jalan raya, risiko berkaitan gaya hidup, serta batas antara kerjaya dan kehidupan peribadi yang semakin sukar dibezakan.

Beliau berkata inisiatif itu juga sejajar dengan corak pekerjaan moden, termasuk pengaturan kerja fleksibel dan ekonomi gig, menyaksikan risiko tidak hanya terhad ketika masa bekerja yang ditetapkan. 

Lee menghargai usaha Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO atas wawasan serta kepimpinan mereka dalam memperkenalkan pembaharuan penting itu.

Pada masa sama, beliau menekankan mengenai kepentingan mengutamakan kesedaran awam, garis panduan yang jelas serta kecepakan proses tuntutan bagi memastikan skim berkenaan memberikan manfaat dengan berkesan.

“Skim Lindung 24/7 bukan sekadar perlindungan yang lebih menyeluruh, sebaliknya memperlihatkan bahawa keselamatan sosial perlu seiring dengan realiti kehidupan moden,” katanya sambil menyokong inisiatif itu dan mengharapkan kejayaan pelaksanaannya demi manfaat pekerja Malaysia di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan