KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Sebarang bentuk artifak sejarah yang berada di luar negara jika ingin dibawa pulang atau dimiliki semula tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan perlu melalui proses yang betul berlandaskan undang-undang.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah amat mudah untuk menggunakan sentimen bahawa artifak sejarah negara yang kini dalam pemilikan dan simpanan pihak luar telah ‘dicuri’ sewaktu penjajahan dahulu oleh pelbagai kuasa dunia, justeru hendaklah dibawa pulang sebagai hak milik kita.
“Biarpun benar ada yang telah diambil dengan cara yang tidak betul, namun hakikatnya sepanjang peradaban sejarah negara sebelum merdeka, kerajaan-kerajaan terdahulu banyak berhubung dan berkongsi pelbagai perkara termasuk cendera kenangan yang kini menjadi artifak sejarah bersama,” titah Raja Zariah Sofiah menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Seri Paduka Baginda bertitah manuskrip dan surat-surat Raja Melayu yang dipamerkan sewaktu lawatan ke British Library pada 16 Dis lepas adalah milik keluarga waris Sir Stamford Raffles yang telah diserahkan kepada British Library untuk tujuan penyelidikan serta simpanan.
Ini termasuk salinan hikayat-hikayat atau cetakan buku yang pada zaman penjajahan British, setiap bahan cetakan yang dihasilkan di Tanah Melayu akan dihantar satu salinan untuk disimpan di British Library di London.
“Sebagai contoh, jika kita mempunyai surat-surat yang diutuskan kepada nenek moyang kita daripada pihak luar, adakah wajar ia dituntut oleh waris pihak yang mengutuskan surat itu sebagai hak milik mereka, dan kita menyerahkannya kepada mereka? Ia adalah bukti perhubungan antara kedua-dua pihak dan dalam konteks sejarah, wajar disimpan sebaiknya.
“Ini yang dilakukan oleh British Library dan bermacam lagi institusi sepertinya termasuk di negara kita sebagai usaha memelihara sejarah dan teladannya untuk diselidik oleh generasi kini dan masa hadapan.
“Salinan-salinan asal yang dipamerkan untuk rombongan Johor tempoh hari telah disimpan rapi dengan keadaan kelembapan udara yang dijaga dengan teliti agar tidak rosak,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong juga bertitah artifak yang ada telah dikongsikan dalam talian secara digital untuk para penyelidik dan yang lebih utama ia digunakan bagi mempelajari tentang ketamadunan bangsa negara ini berbanding soal pemilikan artifak dan dokumen semata-mata.
Titah Raja Zarith Sofiah, asas lawatan ke British Library tempoh hari adalah bagi menggalakkan penyelidikan yang lebih mendalam tentang sejarah ketamadunan Melayu agar menjadi teladan dalam mencorak dan merancang masa depan bangsa ini di masa akan datang.
-- BERNAMA
