AM

LAWATAN PM SINGAPURA KE MALAYSIA ERAT HUBUNGAN DUA HALA - FAHMI

27/02/2026 05:20 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong ke Malaysia pada Jumaat lepas mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, khususnya di peringkat kepimpinan tertinggi, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai hasil lawatan berkenaan yang disifatkan sebagai positif.

“Pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk melibatkan perkara seperti air dan isu-isu lain yang sedang diuruskan dalam siri perbincangan antara kepimpinan kedua-dua negara,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, hari ini.

Wong mengadakan lawatan khas sehari ke Malaysia pada 20 Feb lepas. 

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan perbincangan adalah mengenai kerjasama dua hala dan isu kepentingan bersama termasuk hasil pemukiman pemimpin pada 4 Dis tahun lepas.

Singapura merupakan jiran serta rakan utama Malaysia dalam ASEAN, dengan hubungan yang erat dan meluas dalam pelbagai bidang.

Singapura juga adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (USD93.97 bilion) pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding 2024.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan Jemaah Menteri turut menerima laporan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung prestasi pelancongan negara pada 2025.

“Malaysia merekodkan jumlah pelawat seramai 42.19 juta orang pada 2025, iaitu peningkatan 11.2 peratus berbanding 37.96 juta pelawat pada 2024,” katanya.

Beliau berkata kadar pertumbuhan itu jauh mengatasi purata global sebanyak empat peratus serta kadar peningkatan enam peratus di rantau Asia Pasifik.

“Pencapaian ini mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi utama yang terus diyakini pelawat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan