SUKAN

SUKAN SEA: KUCHING DISERIKAN DENGAN PANCARAN CAHAYA JALUR GEMILANG

21/12/2025 04:48 PM

KUCHING, 21 Dis (Bernama) -- Bandar raya Kuching diserikan dengan pancaran cahaya bertemakan warna Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan dan semangat kepada Sukan SEA.

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memaklumkan inisiatif itu juga dibuat bagi meraikan bandar berkenaan selaku antara tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Pencahayaan Jalur Gemilang itu dipancarkan dari Bangunan DBKU, Jambatan Satok, Jambatan Darul Hana serta beberapa bangunan ikonik lain di sekitar bandar raya Kuching.

“Ia akan berlangsung selama seminggu sehingga sambutan tahun baharu 2026, melambangkan kesinambungan sokongan rakyat terhadap penganjuran Sukan SEA 2027,” menurut DBKU menerusi kenyataan di sini hari ini.

Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen dan kesediaan Kuching selaku tuan rumah majlis pembukaan Sukan SEA 2027 selain menzahirkan kebanggaan warga Kuching terhadap penganjuran temasya sukan itu.

“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan keterlihatan temasya itu di peringkat nasional, membangkitkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat serta memupuk rasa bangga terhadap peranan negeri sebagai penganjur bersama.

“Selaku Datuk Bandar, saya berharap inisiatif ini dapat menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat, di samping memperkukuh imej Kuching sebagai bandar raya berdaya saing, progresif dan bersedia menjadi tuan rumah kepada penganjuran Sukan SEA 2027,” katanya dalam kenyataan sama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan