AM

RAWATAN ECMO IJN BERI SINAR HARAPAN PESAKIT JANTUNG

23/12/2025 10:31 AM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama)  --  Ketika kecemasan perubatan berada pada tahap paling kritikal dan rawatan standard tidak lagi berkesan, harapan mungkin terasa semakin pudar namun di Institut Jantung Negara (IJN) detik inilah yang sering menjadi permulaan perjuangan sebenar untuk membolehkan pesakit pulih kembali. 

Dalam rawatan jantung dan respitori tahap lanjutan, keputusan paling kritikal dibuat di unit rawatan rapi (ICU) iaitu ketika pesakit tiba dalam keadaan jantung, paru-paru dan ogran penting lain mula gagal berfungsi dengan pantas.

Pada peringkat itu, kelangsungan hidup tidak lagi bergantung kepada rawatan rutin semata-mata tetapi satu pertimbangan klinikal yang pantas, pengalaman dan kemampuan untuk bertindak dengan tegas dalam tempoh masa yang sangat singkat diperlukan.

Satu daripada intervensi paling kompleks dan berisiko tinggi digunakan oleh IJN dalam situasi sedemikian adalah Pengoksigenan Membran Ekstrakorporeal (ECMO), satu sistem mudah alih yang mengambil alih sementara fungsi jantung dan paru-paru, sekali gus memberi masa untuk organ yang kritikal berehat dan pulih kembali. 

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata ECMO bukan sekadar mesin yang hanya perlu dihidupkan kerana kejayaan penggunaannya bergantung kepada pemantauan yang kerap, pelarasan yang tepat dan penilaian semula secara berterusan oleh pasukan pakar dalam pelbagai disiplin yang berkerja tanpa henti sepanjang masa. 

Beliau berkata menguruskan pesakit ECMO memerlukan pertimbangan yang amat teliti, terutama ketika mesin sokongan hendak dihentikan kerana proses menanggalkan peranti itu adalah lebih rumit berbanding pemasangannya. 

Ia melibatkan pengurangan sokongan secara berperingkat serta penggunaan imbasan ultrabunyi untuk memastikan bahawa jantung boleh berfungsi sendiri.

“Kadangkala apabila pesakit tiba dalam keadaan kritikal dan pilihan rawatan terhad, di sinilah IJN memainkan peranannya. ECMO memberi peluang kepada jantung untuk rehat dan pulih. Kita tidak akan berputus asa selagi masih ada kemungkinan untuk nyawa diselamatkan,” katanya kepada wartawan dalam sidang media khas baru-baru ini. 

Beliau menjelaskan bahawa pesakit  ECMO memerlukan perhatian berterusan sepenuh masa daripada pasukan perubatan termasuk pakar kardiologi, pakar bedah jantung, pakar bius, pakar perubatan rawatan rapi, perfusionist serta jururawat rawatan kritikal, kerana perubahan kecil dalam aliran darah atau dos ubat boleh membawa kesan yang besar. 

Sebagai contoh, Dr Mohamed Ezani berkata institut perubatan itu baru-baru ini merawat seorang pelajar antarabangsa dari China, yang selepas mengalami demam virus keadaannya berkembang dengan cepat menjadi kegagalan jantung akut dan tiba dalam keadaan kejutan kardiogenik yang kemudian memerlukan sokongan ventilator, selepas keadaannya semakin merosot di tempat lain walaupun telah menerima rawatan.

Beliau berkata satu demi satu organ termasuk buah pinggang dan hati pesakit mula gagal berfungsi dan ketika dirujuk ke IJN, terapi konvensional serta pelbagai ubatan tidak lagi memadai untuk merawat pesakit. 

“Selepas penilaian dan perbincangan yang teliti, pasukan ICU memutuskan untuk memulakan sokongan ECMO, intervensi ini membolehkan jantungnya rehat sementara peredaran darah dan bekalan oksigen ke seluruh tubuhnya distabilkan,” katanya. 

Beliau berkata pada hari pertama keadaan pesakit kritikal sebelum tekanan darah beransur-ansur stabil, dos ubat dikurangkan dan tanda awal pemulihan fungsi jantung mula kelihatan. Pasukan perubatan kemudian menjalankan penilaian semula secara berterusan dan menggunakan pengimejan termasuk ultrabunyi untuk memantau sama ada jantungnya mampu berfungsi sendiri. 

“Sokongan ECMO dikurangkan secara berhati-hati dan dihentikan selepas jantungnya pulih. Sokongan ventilator ke atas pesakit kemudian berjaya dihentikan manakala proses rehabilitasi dimulakan dan pelahan-lahan pesakit mendapatkan semula kekuatan sebelum bersedia untuk pulang ke tanah airnya,” kata Dr Mohamed Ezani.

Dalam satu lagi kes, Dr Mohamed Ezani berkata IJN turut merawat seorang wanita muda tempatan yang mengalami kegagalan jantung akut selepas bersalin, keadaan dikenali sebagai postpartum cardiomyopathy.

“Pesakit dipindahkan ke IJN dan diberikan sokongan ECMO. Kes beliau agak mencabar kerana kekal dalam keadaan kritikal selama beberapa hari sebelum tanda pemulihan akhirnya muncul,” katanya.

Selepas 11 hari, beliau berkata sokongan ECMO berjaya dihentikan dan pesakit kemudian pulih dengan baik hingga dapat kembali bersama bayi yang baru dilahirkan. 

Sebagai pusat rujukan kardiak negara, menjadi rutin IJN menerima pesakit dari hospital kerajaan mahupun swasta apabila terapi konvensional tidak lagi berkesan, dengan berpegang pada prinsip harapan akan sentiasa ada selagi masih terdapat kemungkinan untuk nyawa diselamatkan. 

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan