BUTTERWORTH, 23 Dis (Bernama) -- Cahaya lampu berwarna-warni yang menghiasi halaman sebuah rumah di Taman Teluk Molek, Teluk Air Tawar di sini bukan sekadar dekorasi Krismas biasa sebaliknya menjadi lambang perkongsian kegembiraan, keharmonian dan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Kehadiran patung snowman, Santa Claus, salji buatan serta pelbagai hiasan kreatif lain menjadikan kediaman itu tumpuan orang ramai yang ingin merasai kemeriahan sambutan Krismas dalam suasana penuh mesra dan terbuka.
Sejak minggu pertama Disember, pasangan suami isteri D.Charles, 53, dan S.Christe, 48, membuka pintu rumah mereka kepada orang ramai sempena sambutan Krismas selepas menerima sambutan yang amat menggalakkan tahun lepas.
Malah, mereka sanggup membelanjakan hampir RM25,000 berbanding RM15,000 pada tahun lepas untuk membeli dekorasi baharu termasuk patung dan lampu yang lebih moden serta selamat memandangkan sebahagian hiasan lama tidak lagi sesuai digunakan.
"Semua hiasan dan dekorasi adalah terbaharu termasuk di kawasan hadapan luar rumah yang lengkap dengan pokok krismas setinggi 10 kaki bersama-sama lampu serta hiasan lain, dan semuanya dilakukan sendiri oleh kami berdua sejak November lepas, " kata Christe kepada Bernama.
Usaha dan dedikasi pasangan itu ternyata membuahkan hasil apabila pengunjung meluahkan rasa teruja serta gembira malah ramai yang berpendapat hiasan pada tahun ini lebih indah berbanding sebelumnya.
Christe, yang bekerja sebagai akauntan, berkata beliau turut terharu apabila ada pengunjung membawa buah tangan sebagai tanda penghargaan atas perkongsian kegembiraan tersebut.
Beliau berkata dianggarkan antara 100 hingga 300 pengunjung bertandang ke rumah mereka setiap hari, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 10,000 orang setakat ini yang terdiri daripada penduduk setempat, orang ramai melalui kawasan berkenaan dan pengunjung daripada pelbagai latar belakang.
“Kami gembira kerana sambutan tahun ini sangat baik, bukan sahaja daripada penduduk tempatan malah ada juga pengunjung dari luar negara seperti Jepun, Hong Kong, Rusia dan negara Barat yang datang melawat," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki iaitu C.Dohnaven, 21.
Bagi pasangan ini, hiasan Krismas bukan sekadar mencantikkan rumah sebaliknya membawa nilai kekeluargaan serta tradisi yang telah lama diamalkan di samping menjadi ruang untuk berkongsi kegembiraan tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Charles, yang merupakan seorang kontraktor, pula berkata kebanyakan pengunjung mengetahui tentang hiasan itu melalui media sosial seperti TikTok dan Facebook sekali gus menjadikan lokasi berkenaan tular dan semakin mendapat perhatian orang ramai untuk merasai sendiri suasana perayaan.
Meskipun mereka sekeluarga akan ke Eropah untuk menyambut Krismas, beliau berkata hiasan rumah itu tetap dibuka kepada pengunjung setiap hari dari 6 petang hingga 12 tengah malam sehingga 2 Jan ini untuk orang ramai menikmati suasana perayaan tersebut dan tahun baharu.
"Anak kami tidak ikut ke Eropah, jadi dia akan menguruskan lampu hiasan dan salji buatan... tahun lepas, ramai pengunjung datang memakai pakaian bertemakan Krismas termasuk kostum Santa Claus.
"Ada juga yang membawa makanan dan hadiah untuk dikongsi bersama,” katanya sambil menambah tradisi itu akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
Beliau juga berkata kehadiran orang ramai daripada pelbagai kaum dan latar belakang ke rumah mereka mencerminkan keunikan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan nilai hormat-menghormati dan semangat perpaduan meskipun mereka tidak saling mengenali.
-- BERNAMA
