BUTTERWORTH, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menempatkan 137 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau di lokasi strategik seluruh negeri ini bagi memantau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 bermula hari ini hingga 27 Dis.
Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata antara lokasi penugasan seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah yang bertujuan melindungan pengguna daripada peniaga tidak beretika serta memastikan penguatkuasaan lebih berkesan.
“Pada masa sama, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menjamin bekalan barangan terkawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SHMMP Krismas 2025 Peringkat Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mematuhi harga maksimum ditetapkan serta menggunakan label berwarna merah jambu bagi barangan yang tertakluk kepada kawalan harga.
Beliau berkata SHMMP Krismas 2025 melibatkan sembilan jenis barangan di Semenanjung iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar dan ubi kentang import.
Sementara itu, Jegan berkata dari tempoh 1 Jan hingga hari ini, KPDN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 72,652 premis seluruh Pulau Pinang, dengan 846 kes telah telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan jumlah sitaan RM3,460,116 dan kompaun RM516,500.
Selain itu, beliau berkata KPDN menerima 2,635 aduan berhubung isu harga dan bekalan barangan dengan 1,146 berkaitan harga barangan dan perkhidmatan, 220 bekalan barang kawalan manakala 1,269 lain-lain aduan bagi tempoh 1 Jan hingga semalam.
-- BERNAMA
