AM

APMM SELAMATKAN TIGA WARGA INDONESIA TERAPUNG DI LAUT DUA HARI

24/12/2025 12:01 AM

GEORGE TOWN, 23 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya membawa tiga lelaki warga Indonesia yang terjatuh laut, ke Ibu Pejabat Maritim Negeri selepas ditemukan dan diselamatkan sebuah kapal.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pihaknya menerima maklumat kejadian daripada Maritime Rescue Sub Coordinator Centre (MRSC) Langkawi kira-kira 9 malam, memaklumkan sebuah kapal tangki MT Orkim Harmony, telah menyelamatkan tiga mangsa berkenaan di Perairan Pulau Indah, Selangor.

“Laporan awal daripada nakhoda kapal berkenaan memaklumkan ketiga-tiga mangsa dipercayai keluar ke laut pada 20 Dis untuk aktiviti memancing, sebelum bot yang dinaiki terbalik akibat cuaca buruk pada hari sama.

“Mangsa dipercayai terapung di laut kira-kira dua hari sebelum ditemukan dan diselamatkan oleh kapal tangki dan hasil semakan mendapati, kesemua mangsa berusia antara 31 hingga 41 tahun itu berasal dari Dumai, Indonesia,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Bagi tujuan pengambilan mangsa, Muhammad Suffi berkata sebuah bot peronda Maritim negeri telah diatur gerak ke kawasan Anchorage Area untuk merapat ke kapal tanki berkenaan sebelum membawa ketiga-tiga mangsa.

Beliau memaklumkan kesemua mangsa akan diambil rakaman keterangan sebelum diserahkan kepada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia bagi urusan dokumentasi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan