Oleh Shanika Abdullatib
MELAKA, 23 Dis (Bernama) -- Lebih lima abad selepas pelaut Portugis menjejakkan kaki di Melaka, Krismas terus meriah diraikan di Perkampungan Portugis di Ujong Pasir sebagai saksi kelangsungan budaya yang diwarisi dari generasi ke generasi.
Sambutan Krismas di perkampungan bersejarah itu bukan sekadar perayaan keagamaan sebaliknya menjadi lambang kesinambungan budaya milik masyarakat Portugis Melaka yang terus mempertahankan warisan mereka.
Sekali lagi ungkapan Bong Natal kung Bong Anu Nubu atau selamat menyambut Hari Krismas dan selamat menyambut tahun baharu dalam bahasa Portugis Melaka kembali 'hidup' menerusi pelbagai hiasan di setiap lorong sempit dan rumah yang menyimpah pelbagai khazanah warisan dari abad ke-16 itu.
Bagi Sara Friderica Santa Maria, 56, keunikan sambutan di perkampungan itu terletak pada pendekatan secara komuniti apabila seluruh kampung berganding bahu menjayakan perayaan, sekali gus membezakan sambutan di tempat lain yang diraikan secara individu atau dalam kelompok kecil.
"Setiap tahun, kemeriahan itu berganda terutama pada malam ambang Krismas kerana semua ahli keluarga jauh dan dekat akan balik berkumpul. Seperti saya, menu utama seperti kari debal, tart portugis, sasagon, acar cili dan agar-agar rumpai laut wajib disediakan.
"Bagi hiasan pula, ia bergantung pada kemampuan tahun itu dan apa yang pasti pokok Krismas yang berusia lebih 15 tahun serta beberapa patung dan hiasan yang diwarisi akan menjadi hiasan utama," katanya kepada Bernama.
Mengulas mengenai hiasan di sekitar perkampungan yang didiami lebih 1,500 penduduk berbangsa Serani itu, beliau yang merupakan pengajar sambilan bahasa Portugis Melaka (bahasa Kristang) berkata saban tahun pasti akan ada kejutan yang dilakukan oleh penduduk terutama pada hiasan di luar rumah yang menjadi tarikan pelancong.
Tidak ketinggalan, hiasan tradisi Portugis ‘lalerlaler’ iaitu kulit kerang yang dihancurkan dan ditaburkan di halaman rumah dan jalan sebagai simbolik kepada salji dan ingatan kepada nenek moyang yang merupakan pelaut.
"Di sini ada 200 rumah dan hiasan masing-masing mempunyai keunikan tersendiri kerana semuanya bersemangat walaupun hiasan yang dibuat adalah mengikut kemampuan sendiri.
"Sudah tentu kami mendapat sokongan dan bantuan dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dari aspek lampu hiasan dan pencahayaan terutama di kawasan sekitar patung besar yang menjadi ikonik perkampungan ini," katanya yang merupakan generasi kedua menetap di perkampungan tersebut.
Bagi menantunya yang berasal dari Thailand, Benchwen Chuakasikam, 33, merasai sendiri sambutan Krismas Perkampungan Portugis yang sangat berbeza dan unik memberinya pengalaman baharu yang sangat berharga.
"Ini adalah pengalaman pertama saya selepas berkahwin dengan suami yang berasal dari tempat ini dan sudah tentu saya teruja menanti malam esok. Melihat persiapan dan hiasan di setiap rumah sejak awal Disember sudah membuatkan saya teruja kerana di Thailand, tiada pengalaman sebegini," katanya.
-- BERNAMA
