AM

SHMMP: KPDN JOHOR CATAT 354 KES

23/12/2025 05:20 PM

JOHOR BAHRU, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mencatatkan 354 kes bagi pelbagai kesalahan, menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) melibatkan tiga siri perayaan tahun ini.

Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata ia melibatkan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa dan Deepavali dengan keseluruhan 1,233 pemeriksaan di kedai runcit dan borong.

Beliau berkata kesalahan utama iaitu tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu merekodkan jumlah tertinggi dengan 343 kes.

Menurutnya tanda harga berkenaan penting bagi memaklumkan kepada pengguna bahawa barangan disenaraikan di bawah skim kawalan harga.

"Kesalahan lain yang dikesan termasuk enam kes tidak meletakkan tanda harga dan lima kes harga barangan melebihi harga kawalan," katanya pada sidang media pelancaran SHMMP Krismas 2025, di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini jumlah kompaun belum dimuktamadkan dan jumlah kes direkodkan setakat ini menerusi SHMMP meningkat berbanding 78 kes termasuk perayaan Krismas pada tahun lepas.

Lilis Saslinda berkata penguat kuasa sentiasa melakukan pemantauan setiap hari menerusi pelbagai operasi bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang. 

Sementara itu, beliau berkata SHMMP Krismas yang berkuat kuasa hari ini sehingga 27 Dis di Johor, melibatkan sembilan jenis barangan iaitu kambing biri-biri bertulang import China, ubi kentang import Indonesia dan China, kubis bulat import, lobak merah China, tomato, lada benggala hijau, cili merah, bawang merah besar dan bawang kuning besar.

Beliau berkata pelaksanaan skim kawalan harga itu disusun berdasarkan keadaan semasa, bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna dan peniaga.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan