DUNIA

SIDANG KEMUNCAK MODEL ANTARABANGSA OIC DI PAKISTAN TUMPU DIPLOMASI UNTUK PEMBANGUNAN MAMPAN

23/12/2025 05:45 PM

ISLAMABAD, 23 Dis (Bernama-Anadolu) -- Sidang Kemuncak Model Antarabangsa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dibuka pada Isnin di Islamabad, menghimpunkan pemimpin belia, diplomat dan pembuat dasar bagi membincangkan diplomasi, perpaduan serta pembangunan mampan di seluruh dunia Islam.

Majlis perasmian diadakan di Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Pakistan, dengan para penceramah menekankan cabaran politik, sosial dan ekonomi yang dihadapi negara-negara Islam, selain peranan penting golongan belia dalam membentuk agenda masa hadapan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Presiden Islamic Cooperation Youth Forum (ICYF), Taha Ayhan, serta pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Youth Advocacy Network, Fasahat Ul Hassan turut berucap kepada para peserta pada sesi perasmian.

Turut hadir ialah pegawai kanan kerajaan Pakistan dan diplomat, termasuk wakil Program Belia Perdana Menteri serta bekas pegawai kanan Kementerian Luar, yang menegaskan kepentingan penglibatan belia dalam proses pembuatan keputusan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menteri Penerangan, Attaullah Tarar, dijangka menghadiri majlis berkenaan sebagai tetamu kehormat bersama pegawai kanan lain.

Atur cara sidang merangkumi simulasi Perhimpunan Agung yang dikendalikan pasukan ICYF, pembentangan resolusi jawatankuasa, ucapan perwakilan, perbahasan, proses pengundian serta penerimaan deklarasi akhir. 

Sesi itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama antara universiti dari pelbagai negara.

Selain itu, satu perbincangan panel mengenai diplomasi, perpaduan dan pembangunan mampan di dunia Islam akan menghimpunkan ahli parlimen, penasihat belia, kepimpinan ICYF serta wakil masyarakat sivil bagi bertukar pandangan mengenai cabaran serantau dan global.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan