JOHOR BAHRU, 23 Dis (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd (JPG) mengukuhkan kedudukan strategiknya dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB) susulan penggabungan JPG Greenergy Ventures Sdn Bhd (JPGGV) sebagai anak syarikat milik penuhnya.
JPG dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa penggabungan itu berikutan pelaksanaan perjanjian penjualan saham bagi memperoleh baki 45 peratus kepentingan ekuiti dalam JPGGV daripada MTC Orec Sdn Bhd.
JPGGV yang ditubuhkan pada 2019, berperanan sebagai platform utama kumpulan bagi inisiatif TBB, termasuk pengeluaran biometana, penaiktarafan biogas dan penukaran produk sampingan minyak sawit kepada penyelesaian tenaga rendah karbon.
Menurut kenyataan itu, pemilikan penuh membolehkan kumpulan itu menentukan hala tuju strategik yang jelas dan kawalan operasi yang lebih baik terhadap pembangunan dan skala portfolio biotenaganya.
Kumpulan itu juga berkata penggabungan itu membolehkan JPG memperkemaskan pelaksanaan, mengoptimumkan peruntukan modal dan penyepadukan inisiatif TBB lebih berkesan ke dalam operasi perladangan terasnya.
“Langkah ini akan mengukuhkan penyelarasan kumpulan dengan agenda peralihan tenaga di Malaysia dan cita-cita sifar bersih negara sambil menyokong pembentukan nilai jangka panjang menerusi intensiti karbon yang lebih rendah dan pelbagai aliran pendapatan.
“Kami akan terus menilai peluang untuk mengembangkan keupayaan TBB dan biotenaga kami, sejajar dengan strategi pertumbuhan dan kemampanan jangka panjang kami,” tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA
