AM

YBR SALUR MANFAAT TAKAFUL KEPADA WARIS DUA PELAJAR TAJAAN TERKORBAN KEMALANGAN

23/12/2025 08:13 PM

KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan lebihan manfaat perlindungan takaful berjumlah RM14,404.71 kepada waris dua pelajar tajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Md Asyraf Zulfadly Md Zainudin berkata sebanyak RM4,945.20 diserahkan kepada waris Allahyarham Rayhan Mohammad Naim Zikry Mawardi, 23, pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Malaysia Terengganu.

Beliau berkata Allahyarham Rayhan meninggal dunia pada 15 Sept lepas akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“YBR turut menyalurkan lebihan pulangan takaful berjumlah RM9,459.51 kepada waris Allahyarham Siti Ain Balqis Hamdan, 23, bekas pelajar tajaan Diploma Polisi dan Penyiasatan di Kolej UNIKOP yang sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah,” katanya.

Allahyarham meninggal dunia pada 3 Julai lepas selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan ketika melalui selekoh dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan, mengakibatkan kecederaan serius pada bahagian kepala.

Md Asyraf Zulfadly berkata YBR amat berdukacita dengan kejadian yang menimpa kedua-dua pelajar tajaan itu dan berharap sumbangan berkenaan dapat membantu meringankan beban kehidupan harian waris.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan