PHNOM PENH, 25 Dis (Bernama-Xinhua) -- Kemboja merekodkan sejumlah 1.1 juta pelancong China dalam tempoh 11 bulan pertama 2025, peningkatan sebanyak 43.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Kementerian Pelancongan pada Khamis, lapor Xinhua.
Kementerian itu dalam satu laporan menyatakan jumlah pelancong China itu menyumbang 21 peratus daripada 5.17 juta ketibaan pelancong antarabangsa ke negara itu bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.
China merupakan sumber kedua terbesar pelancong asing ke negara Asia Tenggara itu selepas Vietnam, tambah laporan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) cawangan Kemboja Thourn Sinan berkata pertumbuhan itu menunjukkan minat yang kukuh dan semakin meningkat dalam kalangan pelancong China terhadap tarikan pelancongan di Kemboja.
“Peningkatan golongan kelas menengah di China, digabungkan dengan pemasaran bersasar serta peluasan laluan penerbangan, dijangka terus merangsang ketibaan pelancong China,” katanya kepada Xinhua.
Pelancongan merupakan antara tonggak utama yang menyokong ekonomi Kemboja. Timbalan Pengarah Pusat Pengajian China-ASEAN di Universiti Teknologi dan Sains Kemboja di Phnom Penh, Thong Mengdavid, berkata ketibaan pelancong China dijangka terus menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dalam beberapa tahun akan datang, disokong pemulihan beransur-ansur pelancongan keluar China, penambahbaikan hubungan penerbangan serta usaha baharu Kemboja untuk mempelbagaikan pasaran pelancongannya.
-- BERNAMA-XINHUA
