KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menegaskan bahawa menjaga kebersihan bandar adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
Justeru, Nga dalam kenyataan hari ini memandang serius serta melahirkan kekesalan terhadap segelintir individu yang masih membuang sampah merata-rata, khususnya di kawasan pusat bandar dan lokasi tumpuan awam.
“Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, namun sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar raya serta nama negara pada mata masyarakat dan pelancong,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta PBT sentiasa komited melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penguatkuasaan secara berterusan, namun kejayaan usaha itu bergantung kepada kesedaran dan kerjasama orang ramai.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap individu yang membuang sampah di tempat awam bermula 1 Jan tahun hadapan, termasuk denda hingga RM2,000.
“Selain denda, hukuman tambahan, iaitu Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan juga akan diberi (dikenakan),” katanya sambil memberitahu bahawa pendekatan itu bertujuan mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran.
Nga menyeru semua pihak untuk menghormati ruang awam semasa meraikan apa jua perayaan atau aktiviti dengan membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan dan mematuhi undang-undang demi memastikan bandar bersih, teratur serta selesa untuk semua.
“Bandar yang bersih mencerminkan masyarakat yang berbudaya tinggi. Marilah kita bersama-sama menyokong usaha SWCorp dan PBT dalam menjadikan bandar kita lebih bersih, lestari dan berdaya huni untuk generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Nga membuat hantaran di X menegur rakyat Malaysia susulan tular gambar yang memaparkan kawasan pusat bandar, termasuk Bukit Bintang, dipenuhi sampah sarap semasa sambutan malam Krismas semalam.
-- BERNAMA
