Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu digandingkan secara strategik dengan pengukuhan celik digital dan literasi media sosial bagi memastikan ekosistem maklumat negara kekal selamat, beretika dan bertanggungjawab, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkembangan pesat teknologi AI tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya perlu disertai keupayaan masyarakat untuk menilai, memahami dan menapis maklumat yang diterima, khususnya dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.
Menurut beliau AI berperanan sebagai sistem sokongan yang boleh membantu memberi amaran awal, menyediakan konteks serta mengesan potensi maklumat palsu, namun pengguna mesti dilengkapi dengan tahap literasi digital yang baik.
"Sebagai penerima maklumat, pembaca dan penonton, apakah sikap tertentu yang perlu ada pada kita untuk pastikan kita dapat terima dan pisahkan maklumat yang benar dan palsu. Sekurang-kurangnya ada bimbingan, misalnya kita bawa kereta, kita masih berada dalam garis.
"AI pun ada peranan untuk membunyikan alarm sekiranya kita dah terlalu dekat untuk merempuh kenderaan (di hadapan). Jadi saya nampak gandingan AI dan celik digital dan literasi media boleh ditambah baik. Itu gandingan yang sangat mantap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual wartawan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi M. Saraswathi, di sini.
Fahmi berkata gandingan ketiga-tiga elemen itu boleh membantu membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap manipulasi maklumat, fitnah dan penipuan digital, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan sosial dan kekeliruan awam.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan melihat keperluan menggunakan AI sebagai antara mekanisme utama untuk mengekang penyalahgunaan teknologi sama, khususnya dalam menangani penularan maklumat palsu dan kandungan berunsur penipuan dalam platform digital.
Beliau berkata pendekatan "melawan AI dengan AI" sudah digunakan dalam bidang keselamatan siber, termasuk bagi mengesan dan menangkis kod hasad (malware) serta perisian berniat jahat berasaskan AI.
"Kita kena lawan AI dengan AI. Dalam keselamatan siber, memang ada penggunaan AI untuk melawan AI malware," katanya.
Fahmi berkata dalam konteks kewartawanan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat, AI turut berpotensi dimanfaatkan secara lebih positif, khususnya dalam aspek pengesahan fakta dan penilaian kesahihan sesuatu dakwaan.
Beliau berkata konsep AI berasaskan ejen atau agentic AI berupaya membantu mengesahkan atau menafikan kesahihan maklumat yang tersebar dengan pantas dalam media sosial.
Sebagai contoh, Fahmi berkata platform X menggunakan aplikasi AI dikenali sebagai Grok yang membolehkan pengguna mendapatkan konteks tambahan atau pengesahan awal terhadap sesuatu dakwaan yang tular.
"Walaupun tidak sempurna, tapi bagi saya itu sebenarnya adalah penggunaan AI yang sangat menarik untuk tujuan pengesahan berita," katanya.
-- BERNAMA
