KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Anak syarikat milik 79 peratus Tanco Holdings Bhd iaitu Midports Holdings Sdn Bhd (MHSB) melantik Ocean Bridge International Ports Management Co Ltd (OBIPM) sebagai pengendali projek pelabuhan kontena pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
OBIPM merupakan syarikat yang berpusat di Hong Kong.
Tanco dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata OBIPM akan mengendalikan dan mengurus terminal pelabuhan serta aset-aset berkaitan yang dimiliki MHSB.
Selain itu, katanya, syarikat itu akan melaksanakan perniagaan berkaitan dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta automasi yang canggih.
OBIPM akan terus membantu MHSB dalam mengoptimumkan reka bentuk terminal dan kajian kebolehlaksanaan, pemilihan dan konfigurasi peralatan, teknologi pengeluaran, rangka kerja kawal selia, piawaian penyelenggaraan, latihan kakitangan serta pengoperasian pelabuhan.
"Pasukan pengurusan OBIPM akan ditempatkan di terminal untuk mengendalikan terminal melalui MHSB sebagai platform.
"OBIPM akan memikul tanggungjawab keseluruhan bagi pengoperasian, pengurusan dan pengawasan semua aset, aktiviti perniagaan serta kakitangan di terminal seperti yang terkandung dalam skop kerjasama," katanya.
Tanco berkata OBIPM akan menguruskan operasi harian dan hak-hak aset yang berkaitan manakala MHSB akan mengekalkan pemilikan aset terminal bersama sebarang keuntungan atau kerugian daripada operasi.
"Rasional bagi perjanjian ini adalah untuk membentuk kerjasama strategik dengan pengendali pelabuhan yang berkelayakan, berpengalaman dan bereputasi yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan serta memperluaskan aktiviti perniagaan dan sumber pendapatan kumpulan," katanya.
Syarikat berkata perjanjian ini tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham, pegangan pemegang saham utama, aset bersih, tahap kadar hutang atau pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026.
-- BERNAMA
