GEORGE TOWN, 27 Dis (Bernama) -- Pesta Pulau Pinang yang diadakan setiap tahun terus menjadi acara kemuncak yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh penduduk tempatan, tetapi juga pengunjung dari negeri lain tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Selain menawarkan pelbagai acara menarik dan program hiburan, pesta yang berlangsung meriah itu turut dikenali sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai lapisan rakyat, sekali gus menjadi simbol perpaduan masyarakat majmuk.
Pesta Pulau Pinang ke-59 yang menjadi identiti dan lambang kebanggaan negeri itu berlangsung selama 36 hari bermula sejak 6 Dis lepas hingga 10 Jan tahun depan, dari 6 petang hingga 11 malam pada hari bekerja dan 5.30 petang hingga 12 tengah malam pada hujung minggu dan hari kelepasan am.
Pengurus Jawatankuasa Pesta Pulau Pinang Dr Khairusany Mohamed Yusof berkata edisi kali ini terus mengekalkan daya tarikannya dengan beberapa elemen serta penambahbaikan yang ditawarkan kepada pengunjung dan pihaknya menyasarkan hingga 500,000 orang menghadirinya berbanding 350,000 pengunjung pada tahun lepas.
"Secara keseluruhan, lebih 80 gerai pelbagai jualan makanan dan minuman bukan sahaja warisan Pulau Pinang, malah beberapa negeri serta negara lain dan ruang pameran beroperasi di dalam kawasan Pesta Pulau Pinang.
"Pengguna juga tidak perlu bimbang kerana harga yang ditawarkan berpatutan, kami bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi membuat pemantauan berterusan untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan serta tiada harga yang terlalu mahal," katanya kepada Bernama.
Khairusany berkata tapak Pesta seluas 8.14 hektar itu juga lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk taman mini dan pavilion agensi negeri seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Beliau berkata pesta itu juga menjadi simbol hubungan diplomatik melalui Pavilion Thailand, Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Acheh yang turut menawarkan pelbagai pengisian termasuk jualan makanan serta pakaian tradisional.
"Antara tarikan lain ialah persembahan artis retro dan moden seperti Kristal, Datuk Hattan, Zamani, XPDC, Datuk Awie, Ella, Ukays, Ara Johari dan Haziq, selain Malam Pesta Berselawat bersama-sama kumpulan nasyid Inteam, UNIC serta Ustaz Don.
"Persembahan itu akan mengambil tempat di arena persembahan dan berlangsung setiap malam sepanjang Pesta Pulau Pinang tersebut, jadi sudah pasti akan memberikan suasana serta genre berbeza kepada pengunjung yang hadir," katanya.
Selain itu, Khairusany berkata pihaknya juga bekerjasama dengan syarikat KCA Amusement Entertainment yang membawakan khas permainan berteknologi tinggi dari Eropah antaranya "Air Force" untuk memberikan peluang kepada pengunjung merasai pengalaman unik, mencabar setiap hari dan menguji adrenalin.
"Kita juga mempunyai 17 alat permainan separa ekstrem dan 18 alat permainan lain yang khusus untuk seisi keluarga dan dari segi keselamatan, semua yang terdapat di Pesta Pulau Pinang melalui pemeriksaan disyaratkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH)," katanya.
Beliau berkata bagi edisi kali ini, pihaknya mengambil pendekatan dengan mengekalkan konsep pencahayaan untuk menambah kemeriahan dan mencipta suasana yang menarik kepada pengunjung serta memperkenalkan ruangan "OOTD" berkonsepkan Magazine di kawasan patio berhadapan dengan pintu utama.
Katanya selain itu, lebih banyak kios foto dan sudut bergambar diwujudkan bagi memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung untuk merakam momen terbaik di tapak ikonik berkenaan.
“Apabila kita sebut tentang Pesta Pulau Pinang, pasti semua terbayangkan dekorasi lampu yang terang, berwarna-warni dan menarik, maka tahun ini kita menampilkan kombinasi warna ungu dan dari segi konsep hiasan pula, kita gabungkan tradisi dan moden bagi mengekalkan nilai sentimental setiap generasi pengunjung,” katanya.
Beliau berkata selain itu, pihak jawatankuasa juga memperkenalkan kereta api mini yang mengelilingi kawasan Pesta Pulau Pinang, kecuali taman hiburan, yang bukan sahaja dikhususkan untuk kanak-kanak, malah seisi keluarga juga boleh menikmati keseronokan menaiki kereta api mini itu.
Arena 3 pula menawarkan pelbagai program seperti Pesta Kucing, pertandingan sukan silat, tinju, Muay Thai, kabaddi, e-sukan, Choral Speaking serta pameran pasukan keselamatan negara.
-- BERNAMA
