BATU KAWAN, 27 Dis (Bernama) -- Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) di sini akan ditutup pada 3 dan 4 Jan (Sabtu dan Ahad) depan, sempena acara Penang 2nd Bridge Polis Diraja Malaysia (PDRM) Solidarity Fun Ride 2026.
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dalam kenyataan memaklumkan penutupan JSAHMS itu bermula dari 8 malam Sabtu hingga 2.30 pagi Ahad dan orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan mereka.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan Jambatan Pertama Pulau Pinang sebagai laluan alternatif untuk perjalanan kedua-dua arah. Bagi pengguna dari arah Utara-Selatan dan yang ingin ke Batu Kawan Industrial Park (BKIP) dan Bandar Cassia dinasihatkan supaya menyusuri Plaza Tol Bukit Tambun Utara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan dengan itu, JKSB menasihatkan orang ramai mematuhi papan tanda dan arahan yang diberikan serta pihaknya mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua pengguna lebuh raya.
Pengguna juga boleh menghubungi Hotline JKSB di talian 1-300-30-2828 untuk mengetahui maklumat trafik atau ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
Media sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang menyasarkan lebih 3,000 penyertaan dari dalam dan luar negara dalam acara berbasikal itu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata edisi keenam acara berbasikal waktu malam di JSAHMS itu memberi pengalaman tersendiri beriadah di jambatan terpanjang negara dalam suasana penuh semangat, sihat dan selamat.
Program yang bertujuan meningkatkan kerjasama polis dengan masyarakat melalui sukan dan kempen pencegahan jenayah itu melibatkan kayuhan sejauh 52 kilometer, bermula di Queensbay Mall, Bayan Baru dan melalui JSAHMS sebelum peserta kembali ke garisan penamat di pusat beli-belah berkenaan.
-- BERNAMA
