JENAYAH & MAHKAMAH

DUA CEDERA LORI BERTEMBUNG DI LEBUH AMJ

27/12/2025 03:56 PM

MELAKA, 27 Dis (Bernama) -- Dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori sampah dan sebuah lori 10 tan membawa muatan ikan di Lebuh AMJ, Paya Rumput di sini awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jamian Saleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada 5.42 pagi sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada 5.48 pagi, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori sampah dan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kemalangan itu mengakibatkan dua mangsa daripada lori sampah mengalami kecederaan, masing-masing seorang lelaki warga tempatan berusia 66 tahun dan seorang lelaki warga Nepal berusia 52 tahun.

“Kedua-dua mangsa itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian manakala pemandu lori 10 tan berusia 36 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata pasukan bomba telah menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di atas jalan raya menggunakan satu aliran salur bantu mula air daripada tangki jentera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Operasi dikawal sepenuhnya pada 5.50 pagi dan tamat pada 8.34 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan