KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Keputusan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini mewakili sebahagian daripada usaha yang lebih besar yang diperlukan untuk membawa perubahan di Malaysia, namun desakan untuk pembaharuan mesti diteruskan ketika negara melangkah ke 2026, kata Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo.
Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Damansara itu berkata kes 1MDB melambangkan keperluan mendesak untuk reformasi institusi, akauntabiliti dan pemulihan integriti dalam pentadbiran awam.
Beliau berkata Kerajaan MADANI telah mengambil langkah untuk meminda Akta Audit dan Akta Perkhidmatan Parlimen, antara lain, dan juga telah memulakan usaha untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pendakwaan.
"Tetapi lebih banyak perlu dilakukan. Kini terdapat keperluan mendesak untuk turut menggesa pembaharuan dalam agensi penguatkuasaan supaya perubahan sebenar dapat dilaksanakan," katanya.
Sambil mengiktiraf usaha semua agensi penguatkuasaan di negara ini, Menteri Digital itu berkata terdapat masalah yang perlu ditangani untuk meningkatkan keyakinan.
"Untuk melakukan ini, kita perlu melaksanakan pembaharuan, membangunkan mekanisme yang lebih bagus yang mempertingkatkan tadbir urus yang baik dan membina struktur baharu yang diperlukan di Malaysia bagi memastikan kes seperti ini dan kerugian yang ditanggung negara tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Gobind juga mengulangi pendirian tegas DAP terhadap rasuah dan salah guna kuasa, dengan menyatakan bahawa parti itu, bersama-sama pemimpin politik, aktivis masyarakat sivil dan rakyat yang prihatin, telah menggesa tindakan diambil sejak awal skandal 1MDB timbul.
Beliau berkata kes itu, yang telah menjangkau lebih sedekad, bukan sahaja mencengkam negara tetapi juga menarik perhatian global termasuk keputusan pendakwaannya.
"Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim perbicaraan menunjukkan keparahan kesalahan yang dilakukan. Ia memberi isyarat jelas bahawa kesalahan seperti ini adalah sangat serius dan tidak akan dipandang ringan," katanya.
Gobind berkata skandal 1MDB bukan semata-mata kes jenayah tetapi ujian yang menentukan institusi Malaysia, rangka kerja tadbir urus dan kemahuan politik untuk menghadapi salah laku di peringkat tertinggi.
"Ia mendedahkan kelemahan sistemik yang mendalam yang membolehkan penyalahgunaan kuasa berlaku dan berterusan selama bertahun-tahun, mengakibatkan kerugian kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan kemerosotan kepercayaan awam,” katanya.
Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, 72, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.
-- BERNAMA
