AM

3,000 MAHASISWA JOHOR MANFAAT INISIATIF ‘MEH BALIK KAMPUS 2026’

28/03/2026 09:55 PM

JOHOR BAHRU, 28 Mac (Bernama) -- Kira-kira 3,000 mahasiswa anak Johor menerima manfaat menerusi pelaksanaan inisiatif ‘Meh Balik Kampus 2026’ oleh Kerajaan Negeri Johor bagi memudahkan perjalanan pulang ke kampus selepas cuti perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata inisiatif itu dilaksanakan susulan keprihatinan berterusan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam memastikan kebajikan serta pembangunan Orang Muda Johor sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau berkata, sebanyak 73 bas ekspres disediakan sebagai langkah proaktif bagi memastikan perjalanan mahasiswa lebih tersusun, selesa dan selamat.

“Daripada jumlah itu, lima bas dilepaskan malam tadi bagi Zon Utara di TMIYC, Iskandar Puteri, manakala 47 bas lagi dilepaskan pagi ini bagi Zon Tengah dan Pantai Timur di lokasi sama.

“Selain itu, sebanyak 21 bas turut digerakkan serentak pagi ini membabitkan beberapa daerah, iaitu Segamat (Muar, Tangkak dan Segamat) serta Batu Pahat (Kluang, Mersing dan Batu Pahat),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya pelaksanaan secara berfasa dan menyeluruh itu mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam menyediakan sistem sokongan yang lebih tersusun kepada mahasiswa.

Aznan berkata lebih 500 mahasiswa anak Johor yang melanjutkan pengajian di Borneo, khususnya di Sabah dan Sarawak, turut diraikan dalam satu pertemuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bersama keluarga masing-masing.

Beliau berkata suasana penuh bermakna jelas dirasai apabila ibu bapa turut hadir mengiringi anak ke lapangan terbang serta pusat pelepasan bas sebagai tanda sokongan dan kasih sayang.

Inisiatif Meh Balik Kampus 2026 itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.4 juta.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi atas keprihatinan serta sokongan padu terhadap kebajikan mahasiswa negeri ini.

Aznan berkata komitmen kerajaan negeri membuktikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira lokasi pengajian mereka sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan