GAZA, 29 Dis (Bernama-QNA) -- Tentera Israel melakukan 969 pelanggaran gencatan senjata sepanjang 80 hari sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa, lapor Agensi Berita Qatar (QNA) yang memetik Pejabat Media Kerajaan Gaza.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, pejabat itu memaklumkan pelanggaran berkenaan mengakibatkan 418 rakyat Palestin maut manakala 1,141 cedera, selain penahanan 45 rakyat Palestin, sambil memberi amaran Semenanjung Gaza kini berdepan “kematian secara perlahan” berikutan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Sejak 10 Okt hingga Ahad, tentera Israel melakukan pelbagai pelanggaran serius dan sistematik terhadap perjanjian itu, yang disifatkan sebagai pencabulan jelas undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta usaha sengaja untuk melemahkan gencatan senjata dan peraturan tambahan mengenai bantuan kemanusiaan yang disertakan bersama perjanjian tersebut.
Kenyataan itu menyebut 289 insiden tembakan secara langsung terhadap orang awam Palestin direkodkan, selain 54 pencerobohan ketenteraan ke kawasan perumahan dan 455 insiden bedilan serta serangan terhadap orang awam tidak bersenjata dan kediaman mereka.
Kenyataan itu turut memaklumkan yang sepanjang tempoh 80 hari berkenaan, Israel melakukan 162 kes perobohan rumah, institusi dan kemudahan awam.
Pejabat Media menegaskan yang tentera Israel gagal mematuhi kuantiti minimum bantuan kemanusiaan yang dipersetujui, dengan hanya 19,764 trak bantuan memasuki Gaza dalam tempoh 80 hari berbanding 48,000 trak yang sepatutnya dibenarkan masuk - purata 253 trak sehari berbanding 600 trak sehari seperti dipersetujui.
Ia memberi amaran mengenai kekurangan serius makanan, ubat-ubatan, air dan bahan api, yang seterusnya memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang kritikal di wilayah itu.
Kenyataan itu menambah yang hanya 425 trak bahan api memasuki Gaza dalam tempoh sama, berbanding 4,000 trak yang sepatutnya dibenarkan di bawah perjanjian - purata lima trak sehari berbanding 50 trak sehari, mewakili kadar pematuhan sekitar 10 peratus.
Dasar sewenang-wenangnya Israel, dicampur dengan sistem tekanan cuaca yang melanda Gaza pada permulaan musim sejuk, menyebabkan 49 rumah dan bangunan yang sebelum ini rosak atau dibom runtuh, mengorbankan sehingga 20 orang apabila bangunan runtuh ke atas mereka ketika mereka berlindung selepas rumah asal dimusnahkan, menurut amaran pejabat itu.
Menurutnya, tiga rakyat Palestin masih terperangkap di bawah bangunan yang musnah akibat keadaan cuaca dan serangan sebelum ini.
Kenyataan itu turut melaporkan kematian dua kanak-kanak akibat kesejukan melampau di dalam khemah pelarian, manakala lebih 127,000 khemah kini tidak lagi berfungsi dan gagal memberikan perlindungan minimum kepada lebih 1.5 juta orang pelarian.
Perjanjian gencatan senjata Hamas-Israel berkuat kuasa pada Oktober, susulan pengunduran tentera Israel dari kawasan berpenduduk di Semenanjung Gaza serta bermulanya kepulangan penduduk yang dipindahkan ke utara Gaza, sebagai sebahagian daripada fasa pertama inisiatif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza.
-- BERNAMA-QNA
