AM

SIM SUMBANG RM50,000 BANTU KOS RAWATAN BAYI PRAMATANG DI JEPUN

31/12/2025 07:54 PM

GEORGE TOWN, 31 Dis (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim  menyumbang RM50,000 kepada keluarga bayi pramatang, Alexis Liang Xi Yue, yang kini menjalani rawatan di sebuah hospital di Tokyo, Jepun.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata Alexis dilahirkan pada usia kandungan 22 minggu ketika ibu bapanya, Liang Chee Liang, 32, dan Chan Luen Chiag, 29, sedang bercuti bulan madu di negara itu.

“Chan mengalami pendarahan serius sebaik tiba di Jepun dan Alexis dilahirkan sebelum sempat dibawa ke hospital, jauh lebih awal daripada tarikh sepatutnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Keadaan bayi itu belum cukup kuat untuk dibawa pulang ke Malaysia dan dijangka hanya boleh kembali ke tanah air selepas Mac 2026.

Sim berkata kos keseluruhan rawatan perubatan dianggarkan mencecah RM1.5 juta, satu jumlah amat besar bagi pasangan berkenaan.

“Justeru, sumbangan RM50,000 ini merupakan bantuan awal dan saya berharap lebih ramai pihak khususnya mereka yang berkemampuan dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Pada mulanya, kos penginapan dan perbelanjaan harian di Jepun terlalu tinggi, menyebabkan ibu bapa Alexis terpaksa pulang ke Malaysia untuk bekerja dan menampung keperluan keluarga. 

Menyedari kesulitan itu, Sim berkata One Hope Charity telah menaja kos penerbangan ibu Alexis ke Jepun bagi membolehkan bayi itu menerima penjagaan dan bekalan susu ibu sepanjang tempoh rawatan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui laman web rasmi One Hope Charity www.onehopecharity.org atau menghubungi talian 016-419 2192, 019-232 2192 atau 04-539 9212.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan