AM

PDRM: ONSA PERKUKUH AKAUNTABILITI PLATFORM DIGITAL, KESELAMATAN PENGGUNA

01/01/2026 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) sebagai langkah penting bagi memperkukuh akauntabiliti platform digital serta keselamatan pengguna dalam landskap siber negara.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata akta berkenaan akan meningkatkan tanggungjawab penyedia platform digital dalam melindungi rakyat daripada ancaman siber yang semakin serius dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata berdasarkan rekod PDRM, rakyat Malaysia menanggung kerugian berjumlah RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian bagi tempoh Januari 2023 hingga November 2025.

“Dalam tempoh yang sama, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan 688 kes direkodkan dari Januari 2021 hingga November 2025.

“Selain itu, kes berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) mencatatkan sebanyak 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata pelaksanaan ONSA merupakan langkah penting bagi memastikan penyedia platform digital bertanggungjawab dalam mengekang penyebaran kandungan berbahaya serta menutup ruang operasi penjenayah siber.

Beliau berkata akta itu juga akan memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti serta kandungan ekstremisme, selaras dengan komitmen berterusan PDRM untuk melindungi rakyat dan memastikan keselamatan dalam persekitaran siber pada masa hadapan.

Beliau berkata PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kementerian berkaitan serta penyedia platform digital menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.

“Seiring pelaksanaan ONSA, PDRM komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan serta pengukuhan perkongsian maklumat strategik, tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa ONSA akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks.

ONSA yang diwartakan pada 22 Mei lepas dan berkuat kuasa hari ini memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform digital dalam mengurus kandungan berisiko tinggi, termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, kandungan lucah, kandungan sumbang dan berkaitan kemudaratan diri.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan