JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN JOHOR SIASAT KENDERAAN ASING TUTUP NOMBOR PENDAFTARAN ISI RON95

03/01/2026 08:53 PM

JOHOR BAHRU, 3 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyiasat dakwaan terdapat kenderaan asing mengisi petrol RON95 dengan taktik menutup nombor pendaftaran bagi mengelak dikesan.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas sebuah stesen minyak, susulan aduan dan maklumat yang turut tular di media sosial itu.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 10.36 malam, semalam. 

"Pembelian petrol RON95 telah dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai di satu daripada pam di stesen minyak berkenaan tanpa melibatkan pengesahan identiti di kaunter. 

"Daripada semakan transaksi, hanya sebahagian daripada jumlah pembelian telah berjaya sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya. Susulan itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan disemak bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lilis Saslinda berkata tindakan diambil di bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan, iaitu larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

Kes disiasat di bawah AKB 1961.

--BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan