IPOH, 3 Jan (Bernama) -- Sebanyak RM25,000 diperuntukkan kepada 100 pelajar asnaf daripada sekolah rendah dan menengah bagi membiayai kelengkapan persekolahan pada tahun ini.
Pengerusi Eksekutif Kolej Antarabangsa Taj (TIC) Tina Tajuddin berkata setiap pelajar menerima sumbangan RM250 dengan kerjasama pelbagai pihak meliputi beg sekolah, peralatan alat tulis serta khidmat gunting rambut.
Beliau berkata pihaknya sentiasa memahami kekangan yang dihadapi golongan asnaf yang memerlukan bantuan setiap kali sesi persekolahan bermula.
“Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberikan zakat wakalah berjumlah RM100 kepada kesemua penerima sumbangan.
“Selain itu, kami juga menerima dana ikhlas daripada Naib Pengerusi Perkep (Persatuan Keluarga Polis) Malaysia Puan Sri Zalena Mohd Ariffin yang turut menyumbang,” katanya selepas TIC Prihatin & Community Education Network 2026 dan Back To School For Asnaf yang dirasmikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.
Sementara itu, selain agihan kelengkapan sekolah turut diadakan penyerahan bakul makanan di bawah Program TIC Prihatin, slot motivasi kanak-kanak, bengkel keibubapaan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna dan bayi comel serta jualan vendor amal dan Jualan Rahmah.
Tina berkata penganjuran program itu mencerminkan komitmen institusi pendidikan dalam memainkan peranan sosial yang lebih luas, bukan sahaja mendidik anak-anak tetapi turut menyokong kesejahteraan keluarga dan komuniti secara berterusan.
“Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan dan pendidikan berteraskan wakaf, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi kesejahteraan ummah dan pembangunan negara,” katanya.
-- BERNAMA
