Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah, Vikneswaran Raman dan Mohd Khairi Idham Amran
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Pengenalan undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri Malaysia kepada maksimum 10 tahun, dilihat mampu memperkukuh budaya kepimpinan demokratik dan mengelakkan pentadbiran cenderung ke arah autokratik.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata langkah berkenaan juga, berupaya memperbaiki sistem semak dan imbang dalam pentadbiran negara ini.
Beliau berkata kewujudan undang-undang yang mengehadkan tempoh perkhidmatan sebagai Perdana Menteri, juga dapat memberi panduan lebih jelas terhadap sistem pentadbiran negara, sekali gus membuka ruang kepada peralihan kepimpinan secara lebih teratur dan sihat.
“Peluang untuk mencari pemimpin lain perlu dibuka kerana dalam sistem demokrasi, pilihan harus sentiasa diberikan kepada individu lain yang berkemampuan untuk mentadbir dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Azizuddin berkata amalan mengehadkan tempoh jawatan ketua kerajaan merupakan norma dalam banyak negara demokrasi dan pelaksanaannya di Malaysia dijangka memberi kesan positif kepada tadbir urus negara, khususnya dari sudut akauntabiliti serta pembaharuan kepimpinan.
Justeru, beliau melihat kesediaan kerajaan membawa cadangan yang sudah sekian lama dibincangkan itu ke Parlimen, sebagai satu petunjuk komitmen terhadap agenda reformasi institusi, meskipun mengakui proses penggubalan undang-undang sedemikian memerlukan penelitian dan perbahasan yang mendalam.
Pandangan itu turut disokong Pakar Geostrategi Prof Dr Azmi Hassan yang menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, sebagai langkah reformasi institusi yang wajar dan selari dengan amalan demokrasi matang.
Beliau yang juga Felo Majlis Profesor Negara berkata had tempoh jawatan itu perlu bagi mengelakkan penumpuan kuasa kepada seorang individu dalam tempoh terlalu lama, yang berpotensi melemahkan proses semak dan imbang dalam pentadbiran.
“Jika seseorang ketua kerajaan berada terlalu lama dalam jawatan, boleh menyukarkan kemunculan idea baharu serta menyempitkan ruang pembaharuan dasar,” katanya, sambil menambah had tempoh itu dapat mewujudkan kitaran kepimpinan dan idea lebih dinamik.
Azmi juga berpandangan pelaksanaan had tempoh jawatan itu wajar diperluas ke peringkat negeri melibatkan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri, bagi memastikan keselarasan sistem antara peringkat Persekutuan dan negeri.
Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata had dua penggal itu, merupakan amalan yang telah lama dilaksanakan di banyak negara termasuk Amerika Syarikat dan Indonesia, dan terbukti sesuai dengan prinsip demokrasi.
Beliau berkata tempoh dua penggal itu, dianggap mencukupi bagi seorang Perdana Menteri atau ketua kerajaan melaksanakan agenda serta misi pentadbirannya, berasaskan prinsip tadbir urus baik.
“Jika seseorang pemimpin berada terlalu lama tanpa had tempoh, terdapat risiko berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran prinsip integriti serta ketelusan.
“Dengan mengehadkan tempoh kepada dua penggal, ia berfungsi sebagai mekanisme kawalan terhadap kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Eksekutif,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mengenai pembentangan rang undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri itu, ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pagi tadi.
Cadangan tersebut merupakan antara beberapa inisiatif reformasi institusi yang akan dibawa ke sesi Parlimen akan datang.
-- BERNAMA
