PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Mekanisme pembiayaan latihan kemahiran dan perlindungan jaringan sosial bagi pekerja gig e-hailing dan p-hailing sedang diperhalusi dan akan diumumkan kelak, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata langkah itu adalah selari dengan Amanat Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan keperluan memastikan pembangunan ekonomi negara diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat, khususnya golongan pekerja.
Ramanan berkata peruntukan tambahan RM100 juta bagi tujuan tersebut menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap realiti ekonomi baharu.
"Langkah ini jelas mengiktiraf sumbangan besar sektor gig yang menjadi tulang belakang mobiliti dan ekonomi harian pekerja gig ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyokong pelaksanaan kelonggaran sementara berkaitan Arahan Bayaran Ansuran CP500 bagi kes kesilapan tidak disengajakan dalam pengisian maklumat pendapatan, sambil menegaskan bahawa pematuhan cukai kekal menjadi tanggungjawab semua pihak.
“Tanggungjawab membayar cukai tetap perlu dipatuhi demi menyokong usaha kerajaan menambah baik bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta peningkatan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ramanan turut menyatakan komitmen KESUMA untuk menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan lain yang diumumkan dalam amanat berkenaan, termasuk pemberian SARA bermula 9 Feb, pembayaran STR 2026 Fasa Satu mulai 20 Jan, peruntukan bagi penambahbaikan kemudahan pendidikan serta pengurangan cukai perkhidmatan sewaan kepada enam peratus.
Beliau berkata KESUMA akan melaksanakan amanah Kerajaan MADANI dengan memastikan setiap inisiatif yang digariskan memberi impak sebenar kepada pekerja, keluarga dan rakyat secara keseluruhan.
“Kementerian ini akan terus menyokong pelaksanaan dasar yang berteraskan kebajikan, keterangkuman dan keadilan sosial bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara,” katanya.
-- BERNAMA
