BERITA TERGEMPAR   The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | 
 AM

MAHKAMAH BURUH BERGERAK MULA BEROPERASI DI SEMENANJUNG OGOS INI - RAMANAN

07/01/2026 02:39 PM

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Mahkamah Buruh Bergerak akan mula beroperasi di Semenanjung Malaysia pada bulan Ogos ini bagi memudahkan akses keadilan untuk golongan pekerja dan majikan terutama di kawasan pedalaman.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif itu akan dimulakan dengan tiga unit kenderaan serta peruntukan sebanyak RM5 juta sebelum projek itu diperluas ke Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan proses perbicaraan dijalankan secara lebih dekat dengan rakyat sekali gus mengurangkan kos perjalanan dan kesukaran logistik untuk hadir ke Mahkamah Buruh khususnya bagi pekerja di kawasan luar bandar.

"Ini adalah satu inisiatif yang akan menyenangkan proses bagi semua orang... jadi, mereka tidak perlu pergi ke mahkamah, mahkamah yang akan datang kepada mereka.

"Kita sudah ada pelan pelancaran, kita mahu maklumat disebarkan supaya orang ramai tahu di mana ia akan berpusat, dan bagaimana pergerakannya... ini mengambil masa sedikit sebab itu, kita akan mulakan pada Ogos," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di sini hari ini.

Ramanan berkata Mahkamah Buruh akan diperkukuh melalui pendigitalan sistem rakaman prosiding, dengan enam lagi di pejabat tenaga kerja di Ipoh, Alor Setar, Muar, Rawang, Kuantan dan Kuala Terengganu bakal dilengkapi sistem rakaman digital tahun ini membabitkan peruntukan RM1.8 juta.

Beliau juga berkata tiga jabatan utama perburuhan iaitu JTKSM, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan akan digabung bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta penguatkuasaan undang-undang buruh.

Penggabungan itu, katanya, dibuat kerana fungsi ketiga-tiga jabatan saling berkait dan berada dalam rantaian isu yang sama, justeru wajar diselaraskan di bawah satu struktur pentadbiran yang lebih bersepadu.

Ramanan berkata langkah itu juga bagi menangani kekurangan pegawai penguat kuasa tenaga kerja yang ketika ini hanya sekitar 300 orang di Semenanjung Malaysia serta 100 orang di Sabah dan Sarawak, jumlah yang disifatkannya sebagai tidak mencukupi bagi memantau keseluruhan sektor pekerjaan di negara ini.

Selain itu, beliau berkata Sistem Pengurusan Perburuhan Bersepadu berasaskan teknologi kecerdasan buatan sedang dibangunkan dengan peruntukan RM9.25 juta dan dijangka siap pada 2028 selaras komitmen kerajaan untuk memodenkan sistem perburuhan serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan