KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini memaklumkan ia tidak akan mengenakan penalti ke atas sebarang ketidakpatuhan kepada keperluan e-Invois, dengan syarat pembayar cukai mematuhi peraturan ditetapkan.
Menerusi satu kenyataan, LHDN berkata ia mengambil maklum komitmen pembayar cukai yang memerlukan tempoh masa mencukupi dalam mematuhi keperluan perundangan pelaksanaan e-Invois, terutamanya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Sehubungan itu, sepanjang tempoh peralihan yang bermula dari 1 Jan, 2026 sehingga 31 Dis, 2026, pembayar cukai dibenarkan untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan untuk semua aktiviti dan transaksi, termasuk bagi industri atau aktiviti yang disenaraikan di bawah Seksyen 3.7 Garis Panduan Spesifik e-Invois.
"Pengeluaran e-Invois disatukan juga dibenarkan walaupun terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya pembayar cukai yang terlibat dalam pelaksanaan e-Invois Fasa 4 yang bermula dari 1 Jan, 2026 diberi tempoh peralihan selama 12 bulan berbanding tempoh enam bulan yang ditetapkan sebelum ini.
Selain itu, LHDN berkata pembayar cukai juga dibenarkan mengeluarkan e-Invois bil kendiri yang disatukan untuk semua keadaan bil kendiri seperti yang digariskan di bawah Seksyen 8.3 Garis Panduan Spesifik e-Invois.
Ia juga turut membenarkan apa-apa diskripsi transaksi dimasukkan di medan “Keterangan Produk atau Perkhidmatan”.
Menurut LHDN, kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan pembayar cukai dari sektor pemborongan dan peruncitan bahan pembinaan untuk mengeluarkan e-Invois disatukan berkuat kuasa 1 Jan, 2026.
"Melalui kebenaran ini, e-Invois hanya perlu dikeluarkan sekiranya melibatkan transaksi melebihi RM10,000 ke atas atau apabila terdapat permohonan daripada pembeli untuk mendapatkan e-Invois.
"Selaras dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan seperti di atas, adalah diharapkan pembayar cukai terutamanya PMKS mempunyai tempoh masa persediaan yang secukupnya untuk melaksanakan e-Invois dan pada masa yang sama, peniaga bahan binaan tidak terbeban dengan keperluan untuk mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi," kata LHDN.
-- BERNAMA
